JURUCAKAP Presiden Palestin Mahmud Abbas mengkritik tindakan Amerika Syarikat (AS) yang tidak lagi merujuk Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan Golan Heights sebagai wilayah yang diduduki dalam laporan hak asasi tahunannya.
Nabil Abu Rudeineh menyifatkan tindakan itu sebagai “pendekatan permusuhan yang berterusan oleh pentadbiran AS terhadap rakyat Palestin dan bertentangan dengan resolusi PBB.”
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh agensi berita Palestin, WAFA semalam, Nabil berkata tindakan itu sebahagian daripada rancangan Presiden AS Donald Trump untuk menghapuskan gerakan Palestin.
Trump dijangka akan mendedahkan rancangannya untuk keamanan Palestin-Israel beberapa bulan akan datang, meskipun kerajaan Palestin menghentikan hubungan dengan Washington susulan mahu mengiktiraf Baitulmaqdis sebaagai ibu negara Israel.
Rakyat Palestin percaya rancangan Trump itu sudah pasti akan menyebelahi Israel.
Dalam laporan hak asasi manusia kepada PBB yang diterbitkan semalam, AS merujuk Golan Heights sebagai “dikuasai Israel” berbanding “diduduki Israel”.
Perubahan sama seperti dalam laporan tahun lepas, di mana terdapat bahagian bertajuk “Israel, Golan Heights, Tebing Barat dan Gaza”, berbanding sebelum ini “Israel dan wilayah-wilayah yang diduduki.”
Jabatan Negara AS menegaskan perkataan yang diubah itu tidak bermaksud perubahan dalam polisi.
Israel menduduki Golan Heights, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza ketika Perang Enam Hari 1967. – AFP, 14 Mac, 2019.
Komen