Pemaju salahkan kos pematuhan punca harga rumah tinggi


Ragananthini Vethasalam

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Redha) Soam Heng Choon mendedahkan kos pematuhan tinggi punca utama pemaju sukar turunkan harga rumah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 13 Mac, 2019.

KOS dan caj pematuhan yang tinggi menyebabkan harga rumah tidak dapat diturunkan, kata pemaju perumahan.

Kos pematuhan berkait dengan aliran tunai pemaju, dan sebahagian kos tersebut seperti pembangunan, utiliti, pengambilalihan tanah dan caj peningkatan infrastruktur dipindahkan kepada pengguna, kata Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Redha) Soam Heng Choon.

“Aliran tunai bagi kami macam darah. Tiada tunai, tiada darah, (jadi) itulah yang berlaku dalam berniaga,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurutnya, Redha sudah berbincang perkara tersebut dengan pelbagai pihak berkaitan seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) dan kerajaan negeri.

“Kami sudah menghantar (cadangan) kepada kerajaan tetapi kesukaran yang wujud adalah banyak isu itu di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Jika bawah kerajaan persekutuan, ia lebih mudah,” kata Soam.

“Misalnya urusan tanah dan pihak berkuasa tempatan bawah kerajaan negeri…jadi banyak kos pematuhan berkaitan negeri.”

Redha hari ini menerbitkan Kajian Industri Hartanag 2H2018 yang mendedahkan selain kos pematuhan tinggi, kos bahan mentah, tenaga buruh dan tanah adalah kos yang menjejaskan aliran tunai mereka.

Soam berkata, walaupun kos bahan mentah kekal stabil selepas pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kos tenaga buruh naik susulan pengenalan gaji minimum.

Kajian itu melibatkan 121 pemaju, mendapati 11,463 unit kediaman dilancarkan pada sH2018 berbanding 13,233 unit pada enam bulan pertama 2018.

Daripada jumlah tersebut, hanya 43% terjual.

Hampir 52% unit dilancarkan pada separuh kedua tahun lepas berharga bawah RM500,000 berbanding 65% pada tahun sebelumnya.

Sekitar 41% pemaju merancang melancarkan 8,991 unit rumah dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. – 13 Mac, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen