Saman Anwar cabar Akta MKN akan didengar Mahkamah Persekutuan


Bede Hong

Presiden PKR Anwar Ibrahim memfailkan saman pemula mencabar kesahan Akta Majlis Keselamatan Negara pada 2016, cabaran itu akan didengar Mahkamah Persekutuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac, 2019.

MAHKAMAH Persekutuan akan mendengar cabaran perundangan difailkan Presiden PKR Anwar Ibrahim terhadap kesahan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 selepas kes itu dirujuk mahkamah tinggi.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Nordin Hassan mengalihkan saman Anwar kepada Mahkamah Persekutuan kerana ia berkaitan dengan soal perlembagaan selaras dengan Seksyen 84 Akta Judisari Mahkamah 1964 (Akta 92).

“Prosedur akan mengambil masa beberapa minggu. Mahkamah akan mengambil masa seminggu untuk menghantarnya ke Mahkamah Persekutuan, selepas itu ia akan menetapkan tarikh pendengaran kes,” kata peguam Anwar, Leela Jesuthasan kepada wartawan di luar mahkamah hari ini.

Dalam saman pemulanya itu, Anwar mempersoalkan kesahan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 dan beberapa akta berkaitan.

AKTA MKN diluluskan Parlimen pada 2016, tanpa melalui perkenan Yang di-Pertuan Agong dan berkuatkuasa pada 1 Ogos 2016 selari dengan peruntukan Perkara 66 (4A) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan rang undang-undang menjadi akta tanpa perkenan Agong.

Anwar mencabar kesahan pindaan akta tersebut kerana ia membatalkan syarat perkenan Agong, yang disifatnya sebagai syarat asas Perlembagaan Persekutuan.

Dalam saman sivil difailkan pada 2 Ogos 2016 itu, Anwar mendakwa pelaksanaan Akta MKN 2016 melanggar perlembagaan dan perlu dibatalkan. Beliau juga mahu Akta MKN dibatalkan dalam usaha mengembalikan semula syarat perkenan Agong untuk kelulusan undang-undang.

Saman pemula Anwar sebelum itu ditolak mahkamah tinggi atas alasan cabaran perundangan perlu difailkan di Mahkamah Persekutuan kerana ia melibatkan cabang legislatif kerajaan, Parlimen.

Mahkamah Rayuan turut menolak rayuan Anwar pada 6 November 2017. Bagaimanapun, pada Mac tahun lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan dibuat terhadap penolakan itu. – 13 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen