
BAHAN kimia yang didapati mencemarkan Sg Kim Kim, Pasir Gudang di Johor dikaitkan dengan bahan kimi digunakan untuk mengitar semula tayar, kata Menteri Tenaga, Sains, Tenaga, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin.
“Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah menghantar sampel kepada Jabatan Kimia untuk mendapatkan analisis terperinci dan keputusan menunjukkan ia mengandungi bahan peluntur organik seperti delaminate. Ini digunakan untuk pirolisis tayar,” kata Yeo di Parlimen pagi tadi.
Pirolisis adalah kaedah kitar semula tayar dengan “menghangatkan”atau mencincang tayar tersebut dalam tangki reaktor. Dalam reaktor tersebut, getah akan dilembutkan apabila polimer getah dipecahkan kepada molekul lebih kecil.
Yeo berkata kerajaan sudah menggerakkan semua sumbernya dari negeri lain untuk memeriksa semua 254 kilang kimia di kawasan Pasir Gudang.
“Perkara paling penting sekarang adalah untuk membersihkan sungai tersebut bagi mengeluarkan semua bahan tercemar dan memastikan tiada pencemaran baharu,” katanya.
Bagi menguruskan pencemaran tersebut, menurut Yeo, beberapa jawatankuasa sudah dibentuk.
“Terdapat pusat operasi khas ditubuhkan di Majlis Daerah Pasir Gudang untuk mengendalikan kes, sementara pusat arahan untuk pengurusan kerja pemantauan dan pembersihan juga ditubuhkan bersama-sama Jabatan Alam Sekitar, pasukan Hamat dan syarikat pembersihan.”
Katanya, pengesan gas mudah alih juga dihantar ke kawasan terjejas kerana gas bertoksik daripada bahan kimia tersebut diketahui mengandungi kompoun organis yang merbahaya.
“Jika lebih banyak gas dikesan, kita akan lakukan pemetaan gas untuk mengukur parameter (kawasan terjejas) dengan lebih tepat.
“Mereka juga akn ditugaskan mengambil sample air dalam tiga lokasi pembuangan haram dan hilir dan hulu Sg Kim Kim,” kata Yeo lagi.
Tambahnya, Petronas juga sudah menghantar 21 pakar dan peralatan termasuk “air dispeller modeller” untuk memeriksa pergerakan gas.
Sebelum itu, Ahmad Maslan (Pontian-BN) sudah bertanya kepada menteri berkaitan tentang langkah yang diambil untuk menangani pencemaran sisa toksik di Pasir Gudang.
Ahmad berkata kerajaan patut meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk memperuntukkan hukuman lebih berat kepada pesalah.
“Kerajaan perlu mempertimbangkan dana kecemasan untuk pencemaran toksik. Dan jika tiada pampasan, mereka boleh menyaman syarikat terbabit,” katanya.
Susulan pencemaran sisa berbahaya ke dalam Sungai Kim Kim, lebih 900 orang kebanyakkannya adalah pelajar sekolah dimasukkan ke hospital atau dirawat kerana menghidu gas beracun.
Semua 111 sekolah di kawasan terbabit juga sudah ditutup sehingga diberitahu kelak.
Menurut JAS< pencemaran itu disebabkan minyak hitam dibuang ke dalam Sungai Kim Kim.
Antara kandungan kimia terdapat di dalamnya adalah metana, hidrogen, klorida, akrilonitril, akrolein dan benzena. – 13 Mac, 2019.
Komen