Kes pinda laporan audit 1MDB dipindah ke mahkamah tinggi


Bede Hong

Najib Razak tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendengar permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes pindaan laporan akhir audit 1MDB. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 13 Mac, 2019.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes berkaitan pindaan laporan akhir audit 1MDB terhadap Najib Razak dan bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy dipindahkan dari mahkamah sesyen.

“Memandangkan kes ini melibatkan kepentingan awam dan beberapa pertuduhan sudah dipindahkan dan tiada bantahan dilakukan, dan permohonan ini akan mempercepatkan proses keadilan, pemindahan dibenarkan,” kata Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Najib diwakili Muhammad Farhan Shafee, N Sivanathan pula mewakili Arul Kanda. Timbalan Pendakwa Raya Amir Nasruddin bertindak bagi pihak kerajaan.

Mahkamah tinggi akan menetapkan tarikh perbicaraan kemudian selepas peguam memaklumkan kebenaran perpindahan itu kepada mahkamah sesyen.

Najib berdepan 42 pertuduhan jenayah, kebanyakannya berkaitan penyelewengan dan korupsi melibatkan 1MDB, yang kini sedang dibicarakan mahkamah tinggi.

Januari lalu, mahkamah tinggi mengarah Najib dan Arul didakwa bersama kerana meminda laporan akhir audit 1MDB.

Sebelum itu, pada 12 Disember, Najib dituduh menyalah guna kuasanya untuk melindunginya daripada tindakan tata tertib untuk arahan meminda laporan akhir audit 1MDB yang dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy didakwa bersama Najib meminda laporan akhir audit 1MDB. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 13 Mac, 2019.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib yang juga menteri kewangan menyelia 1MDB ketika itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 22 dan 26 Februari 2016 di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.

Ketua Audit Negara Dr Madinah Mohamad pada November lalu mendedahkan yang laporan akhir audit 1MDB diubah suai atas arahan Najib.

Madinah berkata dua isi utama dikeluarkan daripada laporan akhir, yang mencatatkan kehadiran ahli perniagaan buruan Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB dan status kewangan dana pelaburan kekayaan negara itu.

Susulan pendedahan Madinah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan baharu dan berkata akan memanggil beberapa individu dalam siasatan itu. – 13 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen