BERGEMA laungan“Pergi mati patriarki” – suara massa tidak terpacul melainkan adanya budaya itu – misoginis. Pekikan itu mewakili suara-suara kecil yang terpinggir atas longgokan penindasan terhadap wanita terutama kes keganasan rumah tangga. Sama ada didedahkan atau tidak, realiti itu mengitari norma umat hari ini.
Patriarki – merendahkan martabat wanita, keganasan fizikal, psikologi ataupun seksual, mengabaikan kesihatan ibu, bahkan bias kelamin dan merestui perkahwinan bawah umur. Justeru, pembelaan hak asasi manusia termasuklah ibu tunggal, orang asal, orang kurang upaya (OKU) adalah agenda utama tuntutan perhimpunan aman anjuran rakyat Malaysia sempena Hari Wanita sedunia – Women’s March.
Malangnya, sebahagian umat tidak peduli isu kezaliman itu. Kadangkala ia sekadar rencah gurauan segelintir agamawan dengan merendah-rendahkan kredibiliti wanita.
Hakikatnya Pertubuhan Pertolongan Wanita (WOA) melaporkan antara 2014 hingga 2017, ada 15,617 kes keganasan rumah tangga. Lebih 5,700 kes dilaporkan pada 2017 sahaja. Ini berlaku di Malaysia. Mengikut badan bukan kerajaan Telenisa, pada 2017 ada 216 kes penceraian berpunca dari keganasan rumah tangga. Keganasan rumah tangga kekal sebagai punca utama penceraian berdasarkan 24% atau 216 kes.
Lebih mual, budaya itu terbit dari benak tafsiran agama sempit – tafsiran yang dibangunkan atas ideologi patriarki. Lebih ironi, sebahagian agamawan merelakan keganasan itu. Buktinya, ada agamawan membenarkan perkahwinan bawah umur. Sebahagian lain pula tidak berasakan isu wanita penting berbanding perjuangan menjenamakan negara Islam. Begitulah kurangnya penghayatan umat terhadap keganasan gender dan masalah rumah tangga – umat tidak cakna.
Sebahagian masih dibuai tidur lena. Menganggap melawan pencabulan hak asasi kemanusiaan adalah fardu kifayah – kerja kelompok tertentu sahaja. Walhal melawan kezaliman adalah fardu ain. Sedangkan, Quran mengajar keadilan dan egalitarian. Justeru, umat mesti dididik menolak patriarki dengan membangun penafsiran yang adil.
Wanita mestilah dimuliakan. Jadi, letaklah keadilan pada tempatnya. Mujurlah ada beberapa gerakan sedar tentang perjuangan itu – pembelaan hak asasi wanita dengan melawan patriarki.
Jadi, selama ini, apakah yang diajar agamawan sehingga umat begitu liat untuk menginsafi kerja kemanusiaan – menolak kezaliman, keganasan terhadap gender dan orientasi seksual?
Sedangkan agamawan ikutan umat. Sebahagian mereka mengajar umat tafsiran agama sempit sehingga pemikiran umat jumud. Meskipun mereka mahu wanita dimuliakan, ironinya mereka sebarkan tafsiran hadis dan ayat Quran dari jalur sempit – memandang wanita sebagai objek. Tafsiran terhadap ayat-ayat berkait isu gender memperlihat kecenderungan amalan patriarki.
Akhirnya, umat dibentur kefahaman salah tentang gender. Kita gagal memahami konteks tersirat Quran. Akibat kemunduran tafsiran, teks agama jadi berat sebelah dan berlaku dominasi gender – lelaki lebih kuat daripada perempuan – tafsiran tidak produktif sejalan dengan kehidupan umat – salih li kulli zaman wa makaan – maka dituntut supaya mengkedepan teks berdasarkan perspektif wanita. Bukan tafsiran dari sudut perspektif lelaki sahaja. Tujuannya menghasilkan keadilan teks, bukan bias gender.
Malangnya tafsiran yang sempit telah mewarnai acuan pemikiran umat. Tambahan agamawan tidak habis-habis memomokkan bahawa wanita tidak layak buat begitu begini. Wanita lemah akal dan perempuan paling ramai di neraka. Semua itu sikap bias demi menakluki kekuatan gender – menjadikan wanita sebagai second class.
Ironi. Bukankah dalam Quran begitu melawan penindasan gender? Bertepatan pula dengan Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia, “Semua manusia dilahirkan merdeka dan setara dalam martabat dan hak-haknya” (all human beings are born free and equal in dignity and rights). Betapa Quran membawa pesan keadilan gender.
Tolak tafsir patriarki
Kita harus membuang pemikiran Islam konservatif patriarki agar tidak merugikan wanita dan mengutuk sikap lelaki yang gemar menjadikan ayat Quran sebagai hujah melemahkan nalar perempuan demi kepuasan nafsu mereka. Betapa penting memahami teks sejalan dengan perubahan kehidupan manusia.
Oleh itu, tafsiran agama dilihat dari perspektif keadilan gender, bukan patriarki. Kebanyakan teks tafsiran ulama tradisionalis cenderung patriarki mungkin relevan untuk zaman itu – maslahah. Kita jangan pula terikat pada zaman tersebut.
Contohnya pada zaman budaya Arab jahiliah, ketidaksetaraan gender tidak dianggap wacana keadilan sebaliknya ia tertumpu kepada peranan sosial. Ketidaksetaraan peranan sosial adalah ketidakadilan pada waktu itu. Maka perkembangan fikah berputar dari wacana zaman tersebut – wacana lelaki-perempuan, pernikahan, pembahagian hak dan rumah tangga, sehingga kepada pewarisan. Justeru, keadilan Islam hadir memperbaiki kebobrokan sistem secara bertahap dalam mengangkat martabat perempuan.
Wacana keadilan berkembang hari demi hari. Wacana keadilan moden menumpukan keadilan pada setiap tubuh manusia – gender. Sebagai contoh umat masih berpegang tafsiran lama berkaitan gender. Umat masih beranggapan bahawa lelaki lebih kuat dari perempuan. Ayat popular yang selalu digunakan adalah surah an-Nisaa (4;34) – Arrijâl Qawwamun ala nnissaa’
Menurut sarjana Islam Nasr Abu Zaid di dalam Al-Mar’ah Fi Khitab Al-Azmah, ayat itu bukanlah bersifat tasyri’ (pensyariatan) sebaliknya refleksi yang mengikut keadaan tertentu – tidak tetap. Makna qawwamah bukan merupakan kekuasaan mutlak – lelaki sewenang-wenangnya memonopoli isteri agar tunduk dan patuh secara mutlak. sebagaimana tafsiran ulama tradisionalis yang menumpukan lelaki dalam ruang sosial selaku pemimpin – seolah-olah perempuan tiada daya sedemikian. Sebaliknya makna kata qawwamah adalah tanggungjawab ekonomi dan sosial.
Quran menyebut kata “perempuan” merujuk kata untsâ‟ dan laki-laki adalah dzakar. Sedangkan untuk kata gender tanpa bias, Quran menggunakan sebutan rijâl, nisâ‟, dan mar‟ah. Maka ayat 4;34 merujuk pada kata arrijâl – difahami tradisionalis sebagai lelaki. Sedangkan bukanlah sebenar-benarnya lelaki tetapi kudrat yang memenuhi syarat tertentu. Maka seorang dzakar (lelaki) boleh jadi tidak mencapai arrijâl. Boleh jadi seorang perempuan untsâ dapat menjadi arrijâl setelah memenuhi syarat tertentu seperti keupayaan memimpin, mendidik, dan ekonomi yang baik.
Tafsiran lain menyebut kata rijâl adalah jamak dari rajul atau rijl yang membawa maksud “kaki”. Justeru, orang yang berjalan atau bekerja untuk membuat penghasilan di luar rumah disebut rijâl. Manakala orang di dalam rumah disebut nisâ‟. Maka ayat ini tidak bias gender atau terikat kepada laki-laki seperti tafsiran kebanyakan. Begitu contoh asas ayat Quran yang mesti difahami secara kontektual. Sudah tentu banyak lagi penafsiran kontekstual berkaitan gender – pewarisan, naskah, harta, hak dan lain-lain.
Di mana agamawan anti patriarki?
Agamawan patut malu andai menyisihkan kerja melawan patriarki, apatah lagi jika mereka pula mendukung amalan itu. Memang masih ada agamawan merendah-rendahkan usaha kelompok tertentu untuk mengangkat kerja kemanusiaan itu. Apakah tiada gerakan agamawan hari ini untuk sama-sama secara kolektif serius menanggapi permasalahan getir isu wanita?
Jika ada, syukur. Kalau tidak tanyalah iman sendiri.
Jangan sampai kekaguman kita terhadap tafsiran tradisi – tafsiran patriarki – akhirnya melumpuhkan ketajaman daya nalar kita. Natijahnya, kita tidak habis-habis membudayakan dan mengkultus hal-hal irrasional sebagai hal yang rasional. Kerana wacana feminis bukan hal baru. Kita malas mengkaji dan menginsafi. Paling hina, kita buat-buat tidak nampak suara-suara yang tertindas dan terpinggir.
Jika terus bias, tidak habis-habis menghentam wanita kerana tidak bertudung, menghukum mereka yang melacurkan diri dan menuding wanita tidak menutup aurat sebagai punca masalah sosial tetapi membisu dalam mengangkat perjuangan hak wanita yang dizalimi, berhentilah menjadi agamawan. – 13 Mac, 2019.
* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen