Facebook berdepan siasatan jenayah berhubung isu data pengguna


Facebook menjadi kontroversi sejak ia mengaku tahun lalu bahawa Cambridge Analytica, sebuah syarikat konsultan politik, menggunakan aplikasi yang mungkin membocorkan butiran peribadi 87 juta pengguna. – Gambar EPA, 14 Mac, 2019.

PENDAKWA raya Amerika Syarikat (AS) melancarkan siasatan jenayah terhadap amalan Facebook berkongsi data pengguna dengan syarikat tanpa memberi makluman kepada ahli rangkaian sosial mengenainya, lapor The New York Times pada Rabu.

Jemaah juri di New York mendapatkan maklumat sepina daripada sekurang-kurangnya dua pembuat telefon pintar utama mengenai rundingan seperti itu dengan Facebook, menurut Times.

Pengawal selia, penyiasat dan pegawai yang dipilih di seluruh dunia menyiasat amalan perkongsian data Facebook yang mempunyai lebih daripada dua bilion pengguna.

Pengendalian data sosial pengguna menjadi kontroversi sejak ia mengaku tahun lalu bahawa Cambridge Analytica, sebuah syarikat konsultan politik, menggunakan aplikasi yang mungkin membocorkan butiran peribadi 87 juta pengguna.

“Dilaporkan terdapat siasatan persekutuan yang berterusan, termasuk oleh Jabatan Kehakiman,” kata jurucakap Facebook sebagai respons kepada pertanyaan AFP.

“Seperti yang kami katakan sebelum ini, kami bekerjasama dengan penyiasat dan mengambilnya dengan serius. Kami telah memberikan keterangan, menjawab soalan, dan berjanji akan terus berbuat demikian.”

Facebook berkongsi jumlah data pengguna yang terhad dengan pembuat telefon pintar dan rakan luar lain untuk membolehkan perkhidmatannya berfungsi dengan baik pada peranti atau aplikasi.
Pengawal selia, dan kini pendakwa, nampaknya ingin memastikan sama ada ia dilakukan dengan cara yang membolehkan pengguna mengetahui apa yang berlaku dan privasi mereka dilindungi.

Rangkaian sosial yang berpangkalan di California itu mengumumkan beberapa langkah untuk mengetatkan pengendalian data, termasuk menghapuskan kebanyakan perkongsian data dengan syarikat luar.

Fokus siasatan jemaah juri tidak jelas, begitu juga ketika ia dimulakan, menurut Times, yang menyebutkan sumber tidak bernama. – AFP, 14 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen