SATU kejadian tembakan di sebuah sekolah berhampiran Sao Paulo pada Rabu menyebabkan lapan orang terbunuh, kata polis tentera negara itu, sebelum kedua-dua penembak itu menembak diri mereka sendiri.
“Lapan orang meninggal dunia di tempat kejadian, termasuk dua penyerang yang membunuh diri,” kata seorang jurucakap polis tentera negara.
“Dua yang cedera meninggal dunia selepas dibawa ke hospital.”
Kira-kira 15 orang cedera dalam kejadian tembakan yang berlaku di sekolah awam Raul Brasil di Suzano, tenggara Brazil.
Laman web UO1 berkata kedua-dua pembunuh, “mungkin remaja, memasuki sekolah dan menembak dengan kepala mereka ditutup dengan hud.”
Gabenor Sao Paulo Joao Doria berkata empat kanak-kanak dan dua anggota kakitangan adalah antara yang terkorban.
Beliau berkata masih belum diketahui sama ada kedua-dua penyerang itu adalah bekas pelajar di sekolah itu.
Anggota keluarga yang bimbang berkumpul di luar sekolah bersama anggota bomba dan perkhidmatan keselamatan, kata seorang jurugambar AFP di tempat kejadian.
Serangan itu berlaku kira-kira jam 9.30 pagi (1230 GMT) semasa tempoh riadah bagi sebahagian pelajar, kata pihak berkuasa.
Polis Tentera Kolonel Marcelo Sales berkata kedua-dua penyerang “menembak pemilik stesen minyak,” yang kini menerima rawatan di hospital, sebelum menceroboh masuk ke sekolah.
Sales berkata penyerang menggunakan “revolver kaliber 38 dan senjata kuno yang kelihatan seperti busar dan anak panah.”
Selepas menembak pelajar di halaman, pembunuh “menuju ke pusat bahasa” di mana beberapa murid bersembunyi dan “membunuh diri di koridor,” tambah Sales.
Globonews menyiarkan gambar televisyen murid melarikan diri dari tempat kejadian selepas memanjat dinding.
Laman web G1 menerbitkan video yang dikatakan diambil di dalam sekolah dengan kedengaran jeritan murid yang terkejut apabila menemui rakan sekelas yang maut.
Ia bukanlah kes pertama seumpamanya dalam sejarah Brazil.
Pada April 2011, seorang bekas pelajar membunuh puluhan murid dan mencederakan ramai lagi sebelum menembak diri sendiri di sebuah sekolah di pinggir bandar Rio de Janeiro.
Brazil adalah salah satu negara paling ganas di dunia dengan 64,000 pembunuhan pada 2017, kadar hampir 31 bagi setiap 100,000 penduduk dan itu tiga kali lebih tinggi daripada tahap yang dianggapkan PBB sebagai keganasan endemik.
Presiden Jair Bolsonaro meluluskan undang-undang yang membolehkan rakyatnya membawa senjata tidak lama selepas mengambil alih kuasa pada Januari bagi menunaikan janji kempennya. – AFP, 14 Mac, 2019.
Komen