KETIKA pengebumian suaminya, seorang balu mendapati ada seorang wanita dan budak lelaki yang tidak pernah ditemuinya menangis di tepi kubur.
Apabila ditanya siapa mereka, wanita tersebut mendakwa beliau adalah adalah isteri kedua dan anak yang meninggal dunia.
Kisah seperti ini bukannya luar biasa, kata Shareena Sheriff, seorang peguam dan pegawai daripada kumpulan wanita Islam Sisters in Islam (SIS).
Kes ini menegaskan mengapa kumpulan - yang sering dikritik oleh golongan Islam ultra konservatif tetapi yang baru-baru ini menerima bantuan kewangan daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) - terus mendorong usaha pembaharuan sistem undang-undang keluarga syariah.
“Terdapat kes di mana isteri kedua dan ketiga muncul di hari pengkebumian dan isteri pertama tidak tahu apa-apa tentang mereka,” kata Shareena, yang merupakan pengurus advokasi, khidmat guaman dan penyelidikan SIS.
“Jadi dalam keadaan ini apakah yang sepatutnya dilakukan oleh isteri ketika membahagikan harta pusaka?”
Menurut Pegawai Komunikasi SIS Majidah Hashim, kisah ini adalah pengalaman sebenar wanita dalam sistem undang-undang keluarga syariah yang bermasalah di Malaysia.
SIS berharap dapat menggunakan geran sebanyak RM20,000 daripada kerajaan untuk menganalisis data dan kisah yang dikumpulkan selama 16 tahun untuk menggambarkan trend sosial dan corak bagi membantu kerajaan membuat dasar yang lebih baik untuk keluarga Islam.
Kes di atas adalah satu daripada corak dimaksudkan dan mendedahkan satu aspek yang perlu dimasukkan dalam Undang-Undang Keluarga Islam 1984, menyebabkan banyak penderitaan kepada wanita Islam.
Pindaan undang-undang sejak 1994 membenarkan lelaki Islam berkahwin lebih daripada satu tanpa kelulusan isteri pertama. Ini membolehkan mereka berkahwin lari secara rahsia di Selatan Thailand.
Mereka kemudian kembali dan mendaftarkan perkahwinan dengan sistem mahkamah syariah serta membayar denda yang minimum.
Isteri pertama biasanya tidak dimaklumkan mengenai wujudnya wanita lain dalam hidup suami.
Menurut kajian meluas mengenai poligami oleh SIS dan tiga universiti awam - Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia - 65% isteri pertama yang ditemubual dalam kajian itu mendakwa mereka tidak tahu suami mempunyai isteri lain.
Kira-kira 87% kanak-kanak daripada perkahwinan poligami mengatakan mereka secara emosi dan psikologi tertekan oleh pengalaman itu.
“Apabila Malaysia memperkenalkan Undang-undang Keluarga Islam pada 1984, ia adalah salah satu yang terbaik di dunia. Tetapi kita merosot kembali dan negara lain mempunyai progres lebih jauh,” kata Shareena.
“Kebanyakan negara Islam lain dari Maghribi, Tunisia hingga Indonesia dan Pakistan memerlukan persetujuan rasmi bagi seorang lelaki untuk membolehkannya berpoligami. Sesetengah tempat anda hanya boleh berkahwin di mahkamah. Jika tidak, perkahwinan itu tidak diiktiraf.”
Membantu kerajaan
Perkhidmatan bantuan guaman SIS, Telenisa, diiktiraf oleh kerajaan dan ia baru-baru ini dianugerahkan geran sebanyak RM20,000.
Perkhidmatan ini membantu 8,400 wanita dan lelaki Islam menangani sistem mahkamah syariah yang dikritik kerana tahap perkhidmatan yang tidak konsisten.
Majidah berkata bagaimana wang berkenaan akan dibelanjakan akan ditentukan bersama dengan pegawai daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
“Terdapat dua aspek. Kami mahu kerajaan terlibat supaya mereka tahu bagaimana setiap sen dibelanjakan dan kami mahu kerajaan melihat bagaimana kerja Telenisa, jenis wanita yang datang kepada kami dan kisah mereka.”
Satu daripada cadangan adalah mengadakan lebih banyak klinik mudah alih Telenisa, kata Majidah, dengan pasukan kaunselor dan sukarelawan melawat komuniti berpendapatan rendah bagi menyebarkan kesedaran mengenai keganasan rumah tangga dan hak wanita dalam perkahwinan, serta menawarkan nasihat undang-undang.
Klinik yang lalu melawat komuniti di Johor, Melaka, Sarawak dan kawasan terpilih di Lembah Klang.
Cadangan lain adalah untuk mengupah lebih banyak pakar bagi meneliti data untuk melihat corak dalam kes Telenisa yang akan membantu kementerian menggubal undang-undang lebih baik atau meminda peraturan seperti poligami.
“Keterbukaan kerajaan dan bagaimana seseorang seperti YB Hannah (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh) berminat dengan kisah para wanita ini memberikan kami galakan. Kami berharap kerajaan dan orang ramai boleh mendapat manfaat daripada pemberian itu.” – 14 Mac, 2019.
Komen