Pentagon umum bajet AS$718 bilion untuk tahun fiskal 2020 


Pentagon berkata kira-kira AS$65 bilion dari dana OCO, AS$25.4 bilion diperuntukkan untuk perang dan AS$41.3 bilion untuk keperluan berterusan.– Gambar EPA, 13 Mac, 2019

JABATAN Pertahanan Amerika Syarikat (AS) pada Selasa mengumumkan bajet bernilai  AS$718.3 bilion bagi tahun fiskal 2020 yang menyaksikan peningkatan besar dalam pembiayaan perang, lapor agensi berita Xinhua.

“Bajet yang besar itu digunakan untuk teknologi masa depan, aeroangkasa, peluru berpandu dan keupayaan siber,” kata pemangku Setiausaha Pertahanan, Patrick Shanahan dalam kenyataan pada Selasa.

“Operasi dan keupayaan disokong oleh belanjawan besar berupaya meletakkan tentera Amerika Syarikat sebagai kuasa besar selama beberapa dekad akan datang.”

Daripada jumlah itu 3.1 peratus diperuntukkan untuk kenaikan gaji tentera selain program kapal selam, peluru berpandu balistik kelas Columbia, sebuah pesawat kelas Ford, tiga kapal selam kelas Virginia dan tiga kapal pemusnah Arleigh Burke.

Perubahan paling ketara dalam bajet itu ialah kenaikan 84 peratus untuk Operasi Luar Negara (OCO), dana yang ditubuhkan untuk membiayai campur tangan ketenteraan AS di Timur Tengah. 

Pentagon berkata kira-kira AS$65 bilion dari dana OCO, AS$25.4 bilion diperuntukkan untuk perang dan AS$41.3 bilion untuk keperluan berterusan.

Mengambil kira perbelanjaan pertahanan yang diperuntukkan kepada agensi lain, dana dicadangkan Rumah Putih ialah sebanyak AS$750 bilion.

Perkara itu dijangka akan menimbulkan perdebatan sengit di Kongres.

Perbelanjaan pertahanan AS menyaksikan peningkatan besar beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya sejak Presiden Donald Trump menolak dasar pro-tentera.

Kongres AS meluluskan perbelanjaan pertahanan AS$716 bilion untuk tahun fiskal 2019 dan kira-kira AS$700 bilion pada 2018. – Bernama, 13 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen