JEPUN hari ini berkata ia tidak akan mengemukakan usul ke atas rekod hak asasi manusia Korea Utara pada panel Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Keputusan itu susulan Perdana Menteri Shinzo Abe mencari jalan untuk berbincang dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un dalam usaha untuk menyelesaikan isu penculikan rakyat Jepun oleh ejen-ejen Pyongyang pada masa dahulu.
Abe yang terkenal kerana pendirian tegasnya terhadap Korea Utara, kini memperlahankan nada tegasnya terhadap Pyongyang.
Abe kini banyak berusaha untuk mengadakan pertemuan dengan Kim untuk menyelesaikan isu penculikan tersebut.
“Selepas mengkaji hasil sidang kemuncak AS-Korea Utara serta pelbagai syarat berkait penculikan dan isu-isu lain, kami memutuskan untuk tidak mengemukakan resolusi draf mengenai situasi hak asasi manusia di Korea Utara pada Majlis Hak Asasi Manusia yang sedang berlangsung di Geneva,” kata Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yoshihide Suga.
Sepanjang 11 tahun lalu, Jepun menyertai Kesatuan Eropah untuk mengemukakan usul mengecam situasi hak asasi manusia di Korea Utara.
Tokyo percaya ejen-ejen Korea Utara menculik sekurang-kurangnya 17 rakyat Jepun untuk melatih perisiknya bahasa dan adat negara itu pada 1970-an dan 80-an.
Selepas bertahun-tahun menafikan, Korea Utara pada 2000 mengaku menculik 13 rakyat Jepun.
Bagaimanapun, aktivis percaya Korea Utara ada kaitan dengan 470 orang rakyat Jepun yang hilang. – AFP, 13 Mac, 2019.
Komen