BANTAHAN penyewa yang terlibat dalam pengusiran kerana tidak lagi memenuhi syarat bagi perumahan awam di flat PPR Taman Manggis dimainkan oleh “penghasut” yang menggunakan alasan “membantu” mereka, kata exco Pulau Pinang hari ini.
Dr Afif Bahardin berkata, penyewa itu sendiri “terpengaruh” oleh mereka yang mahukan bantahan terus diadakan.
“Terdapat pihak yang mendorong mereka. Jika tidak isu ini sudah lama selesai. Namun ada pihak yang mempunyai agenda tersendiri.
“Mereka (pemyewa) sendiri menyatakan mereka dipengaruhi oleh golongan yang mahu mengambil kesempatan ke atas mereka..orang yang setiap hari membuat siaran langsung di Facebook di tingkat bawah,” katanya pada sidang media di Komtar hari ini.
Kerajaan negeri itu mengusir 22 penyewa dari flat PPR Taman Manggis namun beberapa keluarga memprotes pengusiran itu apabila unit kediaman mereka dikunci Rabu lepas.
Tujuh keluarga tidur di luar Komtar sebagai tanda protes sehingga sebahagian daripada mereka berunding bagi perumahan alternatif dan ada yang membuat keputusan untuk balik secara sukarela semalam.
Dr Afif berkata, episod itu diselesaikan semalam kerana kerajaan negeri berunding secara terus dengan penyewa dan bukan dengan mana-mana pohak ketiga.
“Tidak ada kerajaan yang tidak mahu rakyat mereka memiliki rumah.”
Beliau yang juga Adun Seberang Jaya berkata, beliau tidak rasa pihak yang menjadi “penghasut” itu akan mendapat apa-apa.
Exco perumahan negeri Jagdeep Singh Deo juga menolak dakwaan pihak tertentu bahawa mereka telah mencapai “kemenangan moral” selepas penyewa menamatkan protes mereka semalam.
Beliau berkata kerajaan negeri tidak tunduk kepada mana-mana pihak berhubung penyelesaiannya dengan penyewa.
“Itu tidak timbul. Penyewa kini akan mendapat rumah yang lebih baik,” katanya.
Semalam, jabatan perumahan mengadakan rundingan dengan tiga keluarga yang memprotes dan menawarkan mereka perumahan kos rendah di tempat lain di daerah itu.
Manakala penyewa lain meninggalkan lokasi itu secara sukarela, sementara kerajaan negeri mempertimbangkan permohonan beberapa keluarga lain untuk rumah kos rendah dan sederhana. – 13 Mac, 2019
Komen