SELEPAS “berjaya” menyelesaikan kontroversi pengusiran penyewa PPR Taman Manggis yang berlanjutan seminggu lamanya, kerajaan Pulau Pinang mahu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melaksanakan penguatkuasa seluruh negara bagi memastikan hanya yang layak menghuni PPR.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata PPR yang dihuni penghuni tidak layak adalah masalah negara, dan kerana itulah menteri sendiri turut mengeluarkan kenyataan mengulas isu tersebut.
“Pulau Pinang menunjukkan komitmen dan keberanian politik untuk menangani isu tersebut.
“Kami berharap kementerian akan melaksanakan penguatkuasaan seluruh negara bagi memastikan rumah PPR hanya untuk rakyat Malaysia yang berhak,” katanya pada sidang media di Komtar hari ini.
Pihak berkuasa negeri sudah cuba mendapatkan kembali 22 unit PPR Taman Manggis sejak Oktober tahun lepas, tetapi hanya separuh daripada mereka sanggup menyerahkan kembali unit tersebut dan berpindah.
Ia memaksa pihak berkuasa bertindak mengusir keluarga yang ingkar, termasuklah lapan keluarga yang unit PPR mereka dikunci Rabu lepas, yang menyebabkan tujuh daripada mereka berkhemas di luar Komtar untuk membuat bantahan.
Dengan sokongan beberapa kumpulan anti kerajaan Pakatan Harapan, penduduk mencabar arahan pengusiran itu setiap hari dengan tumpuan penuh penulis blog, pengguna media sosial dan media seluruh negara.
Situasi itu turut menarik perhatian perdana menteri yang menghantar Setiausaha Politiknya Abu Bakar Yahya untuk melawar pihak berkuasa di Komtar minggu lepas bagi mendapatkan laporan isu tersebut.
Sepanjang minggu itu, kerajaan negeri tegas dengan pendiriannya yang ia bertindak mengikut lunas undang-undang untuk menyingkirkan penyewa tersebut kerana melanggar syarat sewa unit PPR dan hilang kelayakan untuk terus tinggal di situ.
Semalam, Jabatan Perumahan berunding dengan tiga keluarga yang membuat bantahan dan menawarkan mereka rumah kos rendah di tempat lain dalam daerah itu.
Keluarga lain pula secara sukarela menamatkan bantahan mereka, kerajaan negeri kini mempertimbangkan permohonan beberapa keluarga lain untuk rumah kos rendah dan sederhana. – 13 Mac, 2019.
Komen