TIADA campur tangan kerajaan dalam pembebasan warga Indonesia Siti Aisyah yang didakwa terbabit dalam kes pembunuhan Kim Jong-nam, kata Liew Vui Keong.
Menteri undang-undang itu berkata, pengguguran kes terhadap individu yang dituduh dibuat atas budi bicara Peguam Negara.
Beliau berkata Peguam Negara (Tommy Thomas) mempunyai hak di bawah perlembagaan untuk menggugurkan pertuduhan seseorang walaupun ketika perbicaraan masih berjalan.
“Itu adalah hak Peguam Negara untuk membuat keputusan.
“Kerajaan tidak boleh campur tangan dalam keputusan Peguam Negara,” katanya di Parlimen hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menafikan campur tangan kerajaan dalam kes pembunuhan Kim Jong-nam selepas Siti Aisyah dilepaskan tanpa dibebaskan semalam.
Pembebasan Siti Aisyah daripada tuduhan bunuh terhadap warga Korea Utara itu merupakan keputusan mahkamah dan mengikut peraturan undang-undang, katanya.
Liew berkata, ia merupakan keputusan Peguam Negara dan mereka tidak menerima sebarang permintaan.
Kenyataan itu dibuat selepas kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur berkata semalam Siti Aisyah dibebaskan hasil rundingan panjang antara Jakarta dan Putrajaya atas arahan Presiden Joko Widodo.
Dalam satu kenyataan selepas Siti Aisyah dilepaskan tanpa dibebaskan, kedutaan itu berkata Jokowi telah mengarahkan usaha untuk pembebasannya sebaik sahaja dia ditangkap pada 15 Februari 2017, dua hari selepas Jong-nam, abangnya pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, dibunuh di klia2.
Sementara itu, Liew juga berkata lelaki yang dijatuhi hukuman penjara 10 tahun 10 bulan dan denda RM50,000 kerana menghina Islam di Facebook boleh merayu hukuman tu sekiranya merasakan ia keterlaluan.
Liew menjelaskan ia adalah keputusan mahkamah dan sistem kehakiman untuk menurunkan hukuman penjara dan denda.
Beliau berkata, sekiranya tertuduh tidak berpuas hati, dia boleh merayu hukuman itu.
“Sekiranya seseorang itu tidak puas hati dia berhak utnuk membuat rayuan di Mahkamah Tinggi dan sekiranya Mahkamah Tinggi kekal dengan keputusan itu, kita boleh bawa kes ke Mahkamah Rayuan.
“Tetapi usulnya sendiri (tertuduh) dia boleh memohon semakan semula kes itu, jadi terpulang kepada mahkamah.
Liew berkata demikian bagi menjawab kritikan aktivis tempatan dan pengamal undang-undang yang menyifatkan hukuman itu sebagai terlalu berlebihan.
Alister Cogia, 22 mengaku bersalah di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Jason Juga pada 8 Mac kerana memuat naik kenyataan menghina Islam di media sosial.
Sejak itu, terdapat laporan yang mendakwa Alister mengalami masalah mental dan tidak mampu untuk memahami graviti kesalahan yang membawa kepada hukumannya.
Mahkamah Tinggi di Sarawak mengarahkan Alister menjalani pemeriksaan mental.
Hakim Azahari Kamal Ramli mengeluarkan perintah apabila mendengar permohonan untuk semakan semula kes terhadap Alister hari ini.
Liew juga menegaskan kedudukannya di dalam Jabatan Perdana Menteri melarang beliau daripada campur tangan dalam keputusan yang dibuat oleh sistem kehakiman.
“Cabang eksekutif tidak boleh campur tangan dengan keputusan mengenai perkara ini,” tegasnya. – 13 Mac, 2019
Komen