MASYARAKAT bukan Islam tidak harus dipersalahkan jika berasa terancam dengan seruan kebangkitan Islam yang dipromosi gabungan Umno dan PAS, kata menteri Amanah Khalid Samad.
Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, seruan kebangkitan Islam seperti itu menanam kebencian kepada agama lain dan tidak disenangi orang bukan Islam.
“Kalau mereka menggunakan seruan sedemikian rupa tak salah bagi orang bukan Islam menganggap ia merupakan satu kesatuan yang berasaskan kebencian terhadap bukan Islam,” katanya.
Beliau diminta mengulas kenyataan pemimpin DAP yang timbul selepas PAS dan Umno membentuk kerjasama rasmi pada minggu lalu.
Antaranya, kenyataan setiausaha agung DAP Lim Guan Eng yang menganggap kerjasama atas nama Islam itu sebagai perisytiharan perang terhadap bukan Melayu. Kenyataan itu kemudiannya ditarik balik.
Turut mengulas isu tersebut adalah pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming yang berpendapat kerjasama antara dua parti itu menjadikan Malaysia seperti pemerintah Taliban.
Khalid seterusnya berkata, sikap pemimpin PAS menanam kebencian terhadap bukan Islam juga menyebabkan beliau serta rakan-rakannya keluar dari parti itu untuk membentuk Amanah.
“Kita tidak lihat Islam itu menanamkan kebencian kita sentiasa ingin mengemukakan Islam sebagai penyelesaian kepada masalah manusia dan negara keseluruhannya,” kata pengarah komunikasi Amanah itu lagi.
Sementara itu Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dah Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen turut menyokong kenyataan tersebut.
“Saya setuju dengan kenyataan Nga Kor Ming bahawa terdapat kemungkinan negara menghala ke arah negara Taliban sekiranya PAS Umno bekerjasama dan menang dalam pilihan raya akan datang.
“Ini ancaman bukan saja pada PH tetapi negara secara keseluruhannya. Saya nyatakan kekesalan pada MCA dan MIC yang bersama dengan agenda tersebut.” – 13 Mac, 2019
Komen