Putrajaya masih kaji tender berhubung mekanisme subsidi petrol


Looi Sue-Chern

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen berkata kerajaan masih belum memutuskan mekanisme kerana masih mengkaji tender berhubung perkara itu.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 13 Mac, 2019

KERAJAAN persekutuan masih belum memutuskan mekanisme bagi pelaksanaan subsidi petrol bersasar baharu kerana masih menunggu tender untuk projek berkenaan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen berkata, Kementerian Kewangan sudah meminta tender bagi pihak yang berminat untuk menghantar kertas cadangan mengenai mekanisme itu.

“Kerajaan masih mengkaji dan mempertimbangkan kertas cadangan bagi mekanisme itu. Sehingga kini, ia masih belum dimuktamadkan,” katanya kepada Dewan Rakyat pada sesi soal jawab hari ini.

Chong menjawab soalan daripada Salim Sharif (BN-Jempol), yang mahu tahu sejauh mana keberkesanan mekanisme subsidi bersasar yang diarahkan untuk menangani masalah kos sara hidup.

Beliau juga bertanya bagaimana masyarakat luar bandar, yang mana stesen petrolnya sedikit dan terletak jauh, mendapat faedah daripada subsidi bersasar.

Dalam soalan tambahannya, Salim turut bertanya mengenai kriteria rakyat yang akan menikmati subsidi, dan adakah mereka yang memiliki beberapa kenderaan layak.

Chong berkata, mekanisme itu akan mempertimbangkan pengguna di kedua-dua bandar dan luar bandar, dan juga perkara yang dibangkitkan oleh Salim.

Di bawah Bajet 2019, kerajaan memperuntukkan RM2 bilion untuk membiaya subsidi petrol bersasar bagi pemilik kenderaan kapasiti enjin1,500cc ke bawah, dan bagi motosikal 125cc ke bawah. 

Subsidi bulanan 30 sen hanya terhad kepada 100 louter sebulan bagi kereta dan 40 liter bagi motosikal.

Kerajaan menganggarkan bahawa empat juta pemandu kereta dan 2.6 juta penunggang motosikal akan mendapat manfaat dari subsidi sasaran, yang mana Putrajaya merancang untuk melaksanakan pada bulan Jun.

Ia akan mengecilkan asas mereka yang boleh mendapat manfaat kerana subsidi semasa dinikmati oleh semua pengguna di negara ini, tanpa mengira pendapatan dan kewarganegaraan mereka.

Sementara itu, Dr Noor Azmi Ghazali (PH-Bagan Serai) juga mengatakan bahawa terdapat banyak orang kaya yang memiliki kenderaan dengan kapasiti enjin yang rendah.

Beliau bertanya kepada Chong bagaimana kerajaan membezakan antara kaya yang memiliki kenderaan sedemikian dari golongan miskin yang benar-benar memerlukan subsidi.

Chong berkata rakyat dalam kumpulan B40 akan menikmati subsidi petrol baru.

“Seseorang akan layak jika dia menunjukkan hanya satu kereta. Mereka yang mempunyai dua kereta tidak layak.

“Bagi penduduk luar bandar yang memandu kenderaan yang lebih besar seperti (Toyota) Hilux, kami mungkin dapat menganggap bahawa sebagai keperluan bagi mereka, walaupun kapasiti enjin lebih tinggi.

“Selagi mereka dalam golongan kumpulan B40, mereka akan layak.” – 13 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen