55 lelaki bersenjata maut bertempur dengan askar Nigeria


Jurucakap Tentera Udara Clement Abiade memaklumkan media di Gusau, ibu negeri Zamfara, bahawa sejumlah 24 lagi lelaki bersenjata ditahan oleh tentera dan diserahkan kepada polis untuk pendakwaan. – Gambar fail AFP, 13 Mac, 2019.

SEKURANG-KURANGNYA 55 lelaki bersenjata terbunuh dalam satu pertempuran dengan tentera di negeri Zamfara yang terletak di barat daya Nigeria, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang jurucakap tentera pada Selasa.

Jurucakap Tentera Udara Clement Abiade memaklumkan media di Gusau, ibu negeri Zamfara, bahawa sejumlah 24 lagi lelaki bersenjata ditahan oleh tentera dan diserahkan kepada polis untuk pendakwaan.

Pelbagai senjata turut dirampas dalam operasi itu, kata Abiade sambil menambah bahawa sejumlah 760 orang yang diculik dari beberapa kampung di negeri tersebut dibebaskan tentera.

Beliau berkata tiga anggota tentera telah terkorban dalam operasi itu.

Kawasan luar bandar di Zamfara terdedah kepada serangan kumpulan penjenayah, pencuri lembu dan penculik, dengan sekurang-kurangnya dua serangan besar telah dilaporkan pada Disember yang menyebabkan ramai terkorban.

Kenyataan terdahulu tentera menyebut Operasi Sharan Daji pada 20 Jan telah bertembung “sekumpulan besar penjenayah bersenjata canggih” di kawasan hutan Dumburum dan Gando di Zamfara, yang menyaksikan 58 penjenayah maut manakala 18 kem yang mereka gunakan turut dimusnahkan.

Sekumpulan lelaki bersenjata yang disyaki pencuri lembu pula telah membunuh beratus-ratus orang di beberapa kampung di seluruh negeri itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Beberapa kampung juga dibakar oleh penyerang yang turut menculik dengan tujuan meminta wang tebusan. – Bernama, 13 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen