PEGUAM Muhammad Shafee Abdullah menjelaskan kecederaan dialaminya kerana bermain dengan anjing peliharannya, selepas diperli hebat semalam selepas beliau meminta penangguhan rayuan kes Najib Razak berkaitan SRC International.
Shafee berkata beliau tidak patah tangan tetapi terjatuh selepas anjingnya melompat ke arahnya untuk mengajak bermain.
“Saya jatuh. Sebab itulah saya cedera. Doktor beritahu saya yang saya bertuah kerana doktor ingat ia (tangan) patah sebelum X-ray. Beliau (sebelum itu) yakin ia patah,” katanya kepada wartawan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
“Tetapi X-ray menunjukkan yang hanya tisu lembut dan salur darah yang cedera teruk. Jadi banyak pendarahan. Dan bengkak itu disebabkan darah beku disekelilingnya. Saya rasa sakit yang sangat teruk.”
Shafee berkata anjingnya adalah jenis anjing pengawal muda yang sedang dilatih dan baka campuran mongrel-pedigree.
“Ia berusia sepuluh bulan tetapi lebih besar berbanding anjing dewasa. Ia sedang dilatih.
“Ia adalah anjing pengawal yang suka bermain. Ia suka bermain dengan saya dan saya terjatuh. Ia bukan disebabkannya. Begitulah saya cedera. Ia baka campuran anjing tempatan dan pedigree.”
Katanya, beliau memelihara beberapa anjing pengawal di rumah dan kawasan pejabatnya.
“Jika awak datang ke pejabat saya, saya ada dua anjing jenis Belgian Malinois. Jika awak datang tak dijemput, mereka akan gigit awak. Mereka anjing pengawal yang menakutkan.”
Shafee juga berkata beliau tidak secara khusus memohon di mahkamah semalam untuk menangguh pendengaran rayuan Najib ke Jumaat.
Katanya, beliau bersedia meneruskan perbicaraan hari ini, tetapi mahkamah memutuskan menangguhnya ke Jumaat. – 13 Mac, 2019.
Komen