PROFESOR Emeritus Dr Ismail Hussein (30 Januari 1932–20 Oktober 2014) sentiasa dalam ingatan. Walaupun saya sempat akrab hanya sekitar tahun 2000 hingga 2002 sahaja. Ketika pemikir dan aktivis hebat ini memimpin Gabungan Penulis Nasional (Gapena).
Tidak perlu bertele-tele soal latar belakang tokoh sohor ini. Info Google dan Wikipedia sekelip mata boleh menjelaskan semua latar kehebatan Prof Ismail sebagai genius budaya dan legasi agenda dunia Melayu.
Saya teringat Prof Ismail sebaik saja selesai menjadi panel Wacana Seni & Budaya anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara di Perda, Pulau Pinang pada 9 Mac lalu. Saya hadir sebagai panel bersama rakan wartawan dan blogger terkenal Ku Seman Ku Hussain.
Isi dan isu wacana bertajuk “Cabaran Penulis, Wartawan dan Sasterawan Alaf Baru” terasa biasa-biasa sahaja. Saya kekal mengkritik tiga entiti utama sastera yang sejak sekian lama saya musuhi secara mesra.
Antaranya DBP, yang saya anggap raksasa bahasa dan sastera yang sudah tua dan diambang maut. DBP pada saya, memerlukan reformasi total tanpa kompromi. Agenda bahasa dan sastera akan mati begitu sahaja kalau hala tuju DBP kekal lembam sama seperti dua dekad sebelum ini.
DBP sekarang hanya sebuah rumah mayat dengan jenazah dan khazanah sejarah bahasa dan sastera yang tidak berdaya lagi untuk menghidupkan masa depan. Itulah DBP!
Saya kekal mencela persatuan penulis di seluruh negara. Persatuan penulis kini tidak ubah seperti rumah kebajikan warga tua; tempat para veteran sastera bermemori dan tenggelam dalam sejarah lampau yang konon serba sentimental.
Persatuan penulis dari utara sampai selatan hanya stesen bas lama yang tidak pernah dibina dan diperkasa semula.
Saya tetap keras menegur sarjana sastera - seperti selalu. Saya sudah lama beranggapan sarjana sastera serta para akademis bahasa sebagai emas terbilang di kampus, tetapi besi buruk dalam realiti masyarakat. Mereka hanyalah manusia yang dirobotkan kegilaan ilmiah hingga tidak lagi berpijak di bumi nyata.
Mengapa saya teringat Prof Ismail?
Sudah tentu kerana pengalaman sedetik waktu mengenalinya sekitar 18 bulan ketika berada dalam Gapena. Detik waktu yang sebentar, tetapi memberikan peluang untuk belajar banyak perkara.
Prof Ismail secara tidak langsung, mengajar saya mendekati konsep diagram minda terutama teknik dan stail berfikir seorang cendekia yang hebat. Malah, rasa penghargaan saya terhadapnya juga kerana sikap kebapaannya melebihi gaya keketuaan. Selebihnya, kerana kesabaran luar biasa dalam meladeni sikap agresif saya.
Tahun 2000, pada usia 33 tahun dan cendekia terbilang itu pula berusia 68 tahun – kami punya jurang idea dan perspektif yang sangat ketara. Bukan sekadar jarak usia, tetapi berbeza dalam hampir semua perkara.
Cuma, antara kami ada sentimen saling menghormati. Walaupun, kerapkali saya mengeluarkan kata-kata kasar dan Prof Ismail membalasnya dengan nada lembut tapi sinis serta pedas maknanya.
“Gapena patut agresif lagi, bapa,” kata saya ketika menemuinya di pejabat Rumah Gapena.
Dua dekad lalu, saya melihat Gapena sebagai rumah orang-orang tua yang tenggelam dalam memori Melayunya.
Selalu kalau cuti hari minggu, saya kerap membawa anak-anak ke Kuala Lumpur. Suasana Shah Alam ada masanya membosankan. Anak-anak akan bermain di laman Rumah Gapena dan saya menghabiskan masa berbual dengan Prof Ismail.
“Kita jangan asyik fikir, apa yang orang mahu kita buat,” jawab Prof Ismail dan nadanya sudah ada tikaman menyindir.
“Kita buat apa yang mampu dan selalu kena ukur baju pada badan sendiri.”
Saya budak awal 30-an waktu itu. Aliran adrenalin anak muda cepat menghambat fikiran.
“Saya fikir Gapena terlalu sentimental dengan alam Melayu dan tidak lagi mewakili aspirasi masa kini?”
Wajah Prof Ismail Hussein tenang saja. Dia tetap bersandar pada kerusi sambil melihat wajah saya; mencari-cari perangkap dalam soalan yang ditanya.
“Saya fikir, kalau kamu nampak ada kekurangan, isikan. Jangan menidakkan saja usaha orang lain,” jawabnya.
Saya sedar, sebagai anak muda dalam sayap Gapena, Prof Ismail sedang “membalik paku ke buah keras” terhadap sindiran soalan saya.
Hubungan saya dengan Prof Ismail berjalan dengan baik sepanjang 2000 hingga 2002.
Sampailah saya memilih mengundur diri dari berpersatuan dan menumpu pada kerjaya wartawan televisyen.
Waktu itu, saya menghabiskan masa dengan kegilaan menjadi wartawan penyiasatan dan menerbitkan Edisi Siasat di ntv7.
Dua dekad kemudian, mulai Februari lalu, selepas hidup bebas dan tidak lagi terikat dengan kerjaya media massa dan agensi kerajaan, saya memilih untuk melihat semula dunia sastera dari dekat.
Walaupun, perasaan hancing untuk hadir ke seminar dan mendengar teori-teori lapuk hasil kerja sarjana yang serba selekeh dan hipokrit masih membuatkan saya pesimis pada sastera Melayu.
Malah, kelekehan persatuan penulis yang sibuk mengampu ahli politik dan enggan berubah dalam mengisi agenda Malaysia Baharu juga sangat mengecewakan.
Persatuan penulis masih dibelenggu budaya “gila berjalan sana-sini”. Heboh beriadah dan “membeli ilmu yang murah” di segenap seminar dan pertemuan yang bersembunyi di balik nama sastera.
Pemimpin persatuan masih gelisah pada kedudukan dan pengaruhnya pada pemilihan akan datang, walaupun baru 24 jam diumumkan menang jawatan.
Persatuan masih rumah ternak; mengumpul kawanan ahli dan pengikut, dan bukan membangunkan ideologi kesasterawanan dalam mengisi keperluan zaman.
Di utara tanah air, pada sesi soal jawab wacana yang lesu serta mengecewakan – saya rasa tidak berbaloi hadir dan melalui perjalanan 400 kilometer ke Pulau Pinang.
Tetamu yang hadir rata-rata hanya pemimpin persatuan dan orang tua-tua belaka. Wajah anak muda entah di mana; tanda kerentaan minat dan iltizam untuk hadir ke sesi diskusi.
Persatuan, seperti persepsi yang kental dalam minda saya, masih dipergunakan untuk menjaja nama bahasa dan sastera untuk “membeli pelbagai kepentingan diri” pemimpinnya. Paling utama, mengemis dana dan sokongan politik.
Akhirnya, sejumlah dana sumbangan yang sekadar cukup untuk “kenduri pisang” berjaya menjadikan persatuan penulis sebagai entiti bisu. Suara sasterawan berjaya dibeli dan disenyapkan. Malah, dilewehkan dan enggan bertegas dalam menyuarakan protes politik berkaitan nasib bangsa dan bahasa.
Zaman Prof Ismail sudah berlalu. Dia cendekia yang mengisi eranya. Sekarang era baharu, tetapi nampaknya persatuan sastera kekal dikuasai para sida yang bacul.
Di kampus, dunia sarjana dipenuhi pemikir palsu yang mabuk dengan teori-teori yang hasilnya sekadar menyamai temuan resipi baja keledek atau dedak makanan ayam saja.
DBP jangan sebutlah! Seorang “nabi” belum tentu dapat mengubah kedangkalan dan kejumudan gergasi tua itu. – 13 Mac, 2019.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
Komen