SELEPAS jenuh mencari kerja di bandar kelahirannya di Bachok, Kelantan, Ahmad Shahril Hafizi pergi ke Thailand untuk cari makan dengan membuat persembahan ular dan api.
Anak muda 23 tahun itu sekarang berulang alik dengan bas ke Sungai Padi di seberang sempadan tiga kali seminggu untuk membuat persembahan. Katanya, dia sudah banyak kali melamar kerja di kampung tetapi semuanya ditolak.
“Anak muda di Kelantan macam pelarian di negeri sendiri, terpaksa keluar untuk cari pekerjaan, sebab dekat negeri sendiri tak ada.
“Kalau nak bekerja sebagai tukang kebun pun belum tentu boleh dapat, saya pernah mohon tapi tak berjaya,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Kawannya, Khairul Amar pula berkata kalau dapat kerja pun, gajinya cukup rendah sampaikan tidak boleh menyimpan.
Selepas kontrak kerjanya di sebuah kilang di Pengkalan Chepa ditamatkan, Khairul menganggur lima bulan sebelum bekerja di restoran isteri bapa saudaranya di Rantau Panjang.
Mendengar pengalaman kawan-kawannya tentang gaji yang lebih lumayan di seberang sempadan, dia kemudian pergi bekerja di Thailand.
Jumlah belia Kelantan mencari peluang kerja di luar negeri itu semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan.
Angka Suruhanjaya Pilihan Raya pada pilihan raya umum lalu juga menunjukkan 250,000 pengundi daripada 1.8 juta penduduknya adalah pengundi luar.
Menurut Yang Dipertua Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK) Dr Mohd Fared Abdul Ghani, walaupun tiada data rasmi jumlah belia Kelantan bekerja di Thailand, angkanya tinggi dan meningkat terutama dalam lima tahun kebelakangan apabila banyak kilang pindah operasi keluar dari Kelantan.
“Hakikat sebenar memang begitu. Memang pekerjaan sukar untuk anak muda Kelantan ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Sebabnya kilang banyak dah tak ada. Kita boleh anggarkan hampir 80% telah berpindah operasi yang tinggal cuma, 20%-30%di Padang Tembak.”
PAS mentadbir Kelantan sejak 1990, dan hanya sekali hampir kalah dalam pilihan raya umum 2004 ketika ia mengekalkan majoriti di dewan undangan negeri hanya dengan satu kerusi.
Negeri itu juga mencatatkan keluaran dalam negeri kasar per kapita paling rendah setiap tahun sejak sedekad yang lalu.
Masalahnya, kata Farid, kerajaan negeri yang hanya mengangkat hal keagamaan namun membiarkan isu lain termasuk pelancongan, ekonomi, atau kebajikan belianya.
“Setakat ini kita tak nampak apa misi Kelantan untuk tarik pelaburan. Yang kita nampak medan agamanya sekoloh pondok tahfiz tapi itu tidak memadai.
“Tiada keseimbangan di situ. Kerajaan Kelantan kena fikir juga bidang komersial lain,” katanya.
Farid berkata, isu belia mencari kerja di luar sebelum ini telah diajukan kepada kerajaan Kelantan namun jawapan diberikan amat mengecewakan.
“Kita sendiri ada ajukan tapi jawapan yang mereka berikan kata sebab rakyat Kelantan suka berhijrah.
“Ramai anak muda di sini mereka bukannya suka sangat nak berhijrah. Kalau boleh mereka nak kerja di Kelantan, nak jaga mak ayah, sebab tidak ada pilihan mereka keluar juga.”

Salah PH, bukan PAS
Namun banyak belia di Kelantan memberitahu The Malaysian Insight masalah kurang pekerjaan ini tidak boleh disalahkan pada pentadbiran kerajaan PAS semata-mata.
Bagi Khairul Nakhaie, 22, beliau merasakan kurangnya peluang pekerjaan di Kelantan ini kerana kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji meningkatkan ekonomi.
“Dulu kita sokong Dr Mahathir Mohamad sebab kata nak pulihkan ekonomi, untuk kita anak muda dapat pekerjaan.
“Sekarang ini bila dah menang bantuan sara hidup pun dipotong,” katanya, merujuk pada bantuan RM100 kerajaan kepada bujang.
Menurut Shahril, yang bermain api dan ular di Thailand, banyak kawannya lebih sukakan kerajaan Barisan Nasional di bawah Najib Razak, yang dia sifatkan sebagai “pemurah”.
Dia tidak kisah pun akan pelbagai dakwaan yang dilemparkan terhadap Najib kerana rasuah dan penyelewengan duit daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Rasuah itu hak individu, asalkan beliau bagi pada rakyat, saya rasa okay lah,” katanya.
Selain kurangnya peluang pekerjaan, kebanyakan penduduk yang ditemui The Malaysian Insight juga mengeluh tentang kurangnya kemudahan asas termasuk paip air di beberapa kawasan.
Nelayan, Ros Fadli, 50, yang ditemui di Tok Bali mengeluh tentang kerajaan negeri yang dirasakannya gagal menjaga kebajikan rakyat.
“Kita ada masalah air kerap tak ada, kadang sampai tiga hari tak dapat mandi,” katanya.
Namun dia dan jirannya Abdul Wahid Bujang, 54, bertegas mereka tetap akan mengundi PAS.
Katanya, mereka sudah biasa dengan keadaan begitu.
“Sudah banyak aduan, tidak ada apa, jadi terima sajalah.
“Biar pun tidak puas hati tapi tetap akan pilih PAS sebab parti ini yang jaga Islam,” katanya. – 13 Mac, 2019.
Komen