Terlalu awal untuk daratkan 41 Boeing 737 Max 8, kata Kanada


MENTERI Pengangkutan Kanada Marc Garneau pada Isnin berkata masih terlalu awal untuk mendaratkan kesemua 41 pesawat jenis Boeing 737 Max 8, yang dimiliki syarikat penerbangan Kanada, selepas nahas pesawat penumpang Ethiopian Airlines terhempas pada Ahad, lapor agensi berita China Xinhua.

Kenyataan itu dibuat susulan tragedi malang yang menimpa pesawat milik Ethiopian Airlines dan mengorbankan kesemua 157 penumpang dan anak kapal, termasuk 18 rakyat Kanada.

Nahas di Ethiopia adalah yang kedua membabitkan model Boeing 737 Max 8 dalam tempoh kurang enam bulan. 

Sebuah pesawat milik syarikat penerbangan Lion Air daripada model sama telah terhempas di Indonesia pada Oktober tahun lepas, yang meragut 189 nyawa.

Kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Juruterbang Air Canada pada Isnin menggesa Pengangkutan Kanada mengambil tindakan proaktif bagi memastikan keselamatan perjalanan udara membabitkan orang awam di negara itu.

Syarikat penerbangan di Ethiopia, China, Indonesia dan tempat lain telah dilaporkan membuat keputusan untuk mendaratkan pesawat Boeing 737 Max 8 pada Isnin susulan kebimbangan dari segi keselamatan.

Meskipun kebimbangan berkaitan penerbangan berterusan pesawat jenis Max 8 di Kanada memuncak, Garneau memaklumkan pemberita bahawa orang ramai tidak seharusnya membuat andaian mengenai punca nahas, dan berkata ia mungkin satu daripada “berpuluh-puluh kemungkinan yang berbeza.”

Garneau berkata “Saya akan, tanpa teragak-agak, menaiki sebuah pesawat model itu ketika ini. Saya memberi jaminan kepada rakyat Kanada bahawa kami akan berusaha menentukan punca nahas di Ethiopia. Pesawat ini telah melakukan berjuta-juta batu penerbangan.”

Beliau berkata memandangkan kotak hitam dan sumber kritikal data penerbangan lain telah ditemui di lokasi nahas, siasatan boleh dilakukan dengan pantas.

Dua syarikat penerbangan utama Kanada - Air Canada dan WestJet - telah dibanjiri soalan daripada media sosial berkaitan keselamatan pesawat mereka susulan nahas pada Ahad.

Kedua-dua syarikat berkata mereka yakin dengan keselamatan model Boeing 737 Max 8 dan akan terus menerbangkannya. 

Boeing 737 Max 8 adalah model yang agak baharu dan memasuki perkhidmatan kedua-dua syarikat penerbangan pada 2017. – Bernama, 12 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen