PAKATAN Harapan (PH) Kelantan menubuhkan satu jawatankuasa khas sebagai perantara kepada kerajaan pusat dan rakyat negeri itu kata Pengerusi Amanah Kelantan Wan Rahim Wan Abdullah.
Beliau menegaskan bahawa jawatankuasa itu tiada kepentingan politik dan hanya berperanan menangani isu rakyat terutama kos sara hidup.
“PH Kelantan kini tidak banyak tumpu kepada kepartian tapi kami lebih tumpu kepada menyantuni dan masalah rakyat terutama kos sara hidup,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Jawatankuasa Portfolio Kementerian PH Negeri Kelantan itu ditubuhkan hujung tahun lalu, selepas memansuhkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).
JKKKP dibentuk di negeri-negeri yang tidak dikuasai Barisan Nasional ketika parti itu masih menjadi kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) – termasuk Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Selangor.
Jawatankuasa perantara yang baharu bawah PH di Kelantan dipengerusikan Senator Husam Musa yang juga naib presiden Amanah, kata Wan Rahim.
Sebanyak 10 portfolio yang diwujudkan dalam jawatankuasa itu merangkumi 27 portfolio kementerian kerajaan Persekutuan, kata Wan Rahim yang menambah ia ditadbir sepenuhnya PH Kelantan.
Wan Rahim berkata beliau sendiri mengetuai portfolio pengerusi pembangunan luar bandar dan wilayah, pertanian dan industri utama dalam jawatankuasa tersebut.

“Kita sebagai perantara akan memudahkan peranan masing-masing antara kementerian dan agensi untuk membantu rakyat secara umum.”
Selain itu katanya PH Kelantan turut bertindak menubuhkan jawatankuasa khas di peringkat Parlimen untuk negeri dengan kira-kira dua juta penduduk itu.
“Jawatankuasa ini sama juga bagi memastikan setiap program bantuan kerajaan pusat seperti e-kasih sampai ke golongan sasar,” katanya.
Selain itu, kerajaan turut menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Kelantan (MTNg) yang dipengerusikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali.
MTNg itu pula antara lain menyelaras perancangan, pemantauan dan pengesanan pelaksanaan dasar dan program serta projek pembangunan serta inisiatif semasa kerajaan Persekutuan di Kelantan.
Mengulas lanjut, Wan Rahim berkat jawatankuasa baharu itu akan dapat menangani segala isu berbangkit rakyat dalam pentadbiran PH.
“Kita akan manfaat sebaiknya apabila kita berada di pihak kerajaan apa yang penting kita ingin dilihat pihak yang tidak mempunyai kepentingan politik tapi boleh menyantuni rakyat.”
Wan Rahim berkata PH Kelantan meletakkan tempoh sasaran setahun untuk merangka segala program dan mengatur gerak kerja.
“Kita meletakkan sasaran bermula 9 Mei 2018 sampai 9 Mei tahun 2019 dan sekarang kita ada dua bulan lagi untuk lengkapkan susunan dan gerakkan semua jentera PH.
PH tewas di semua kerusi yang ditandinginya di Kelantan dalam PRU14.
PAS kekal mentadbir negeri itu apabila berjaya menguasai 37 daripada 45 kerusi DUN. Selebihnya, 8 kerusi dikuasai Umno. PAS juga menguasai 9 kerusi Parlimen dan Umno menang di 5 kerusi.
Bagaimanapun, dua ahli Parlimen Umno, Mustapa Mohamad (Jeli) dan Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) kini beralih ke Bersatu. – 13 Mac, 2019.
Komen