Protes penyewa PPR Taman Manggis berakhir


Looi Sue-Chern

Tujuh keluarga bertindak berkhemah di Komtar sejak mereka diusir dari rumah Rabu minggu lalu selepas Jabatan Perumahan negeri mendapati mereka sudah hilang kelayakan untuk menetap di flat PPR berkenaan yang dikhususkan untuk golongan miskin. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 12 Mac, 2019.

SELEPAS seminggu berkhemah di Komtar, sekumpulan penyewa flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis berpindah semula ke unit mereka.

Beberapa keluarga sudah mencapai penyelesaian hari ini dengan pihak berkuasa negeri selepas membuat bantahan atas pengusiran mereka minggu lalu.

Sumber kerajaan negeri berkata, mereka mengadakan rundingan dengan kesepakatan baik untuk penyewa berkenaan.

“Diharap mereka gembira. Mereka akhirnya keluar dari Komtar hari ini,” kata lelaki yang enggan dikenali kepada The Malaysian Insight.  

Beliau menambah, kerajaan negeri akan membuat pengumuman mengenai isu itu esok.

Buat masa ini, penyewa mempunyai masa dua minggu untuk pulang ke rumah dan mengemas barangan milik mereka.

Terdahulu petang tadi, kesemua mereka dibawa ke pejabat Jabatan Perumahan di tingkat 20 Komtar bagi membincangkan masalah perumahan yang dihadapi mereka.  

Difahamkan setengah daripada mereka ditawarkan pilihan berbeza seperti unit kos rendah di bandar dan perumahan di bawah skim sewa.

Ada yang tidak diberi tawaran kerana sudah memiliki unit rumah di tempat lain.

Tujuh keluarga bertindak berkhemah di Komtar sejak mereka diusir dari rumah Rabu minggu lalu selepas Jabatan Perumahan negeri mendapati mereka sudah hilang kelayakan untuk menetap di flat PPR berkenaan yang dikhususkan untuk golongan miskin.

Beberapa notis dikeluarkan kepada mereka dalam beberapa bulan terakhir untuk mereka mengosongkan rumah.

Dengan sokongan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) tempatan, mereka yang diusir mengadakan bantahan dan mengkritik kerajaan negeri yang tidak memberikan alternatif penyelesaian masalah.  

Minggu lalu mereka juga melantik peguam pro bono bagi mendapatkan khidmat nasihat.

Bantahan mereka mendapat liputan media dan isu turut dimainkan oleh pengkritik kerajaan Pakatan Harapan di media sosial. – 12 Mac, 2019. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen