Kenyataan Dr Mahathir mengenai peranan Khazanah mengejutkan, kata Mohd Sheriff


Asila Jalil

Bekas pengarah urusan Khazanah, Mohd Sheriff Mohd Kassim memberi maklum balas selepas Ketua Pegawai Eksekutif Edge Media Group Ho Kay Tat menyatakan Khazanah tidak pernah ditubuhkan untuk tujuan membantu usahawan Bumiputera. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 Mac, 2019.

RAMAI yang terkejut dengan kenyataan dibuat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai peranan Khazanah Nasional Berhad yang dikatakan bertujuan membantu Bumiputera, kata bekas pengarah urusan dana kekayaan itu, Mohd Sheriff Mohd Kassim.

Beliau berkata, mereka tertanya-tanya apa maksud Dr Mahathir ketika kenyataan itu dibuat.

“Malah apabila Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan itu, kita semua terkejut dan tertanya-tanya apa maksudnya sama ada seseorang memberikan idea baharu kepadanya,” katanya pada forum yang dianjurkan Institut Strategi & Kepimpinan Asia (ASLI) di Petaling Jaya hari ini.

Beliau berkata pertemuan itu diadakan di antara bekas Pengarah Urusan Khazanah Azman Mokhtar dan perdana menteri di mana beliau diberi penjelasan mengenai peranan Khazanah.

Sheriff memberi maklum balas selepas Ketua Pegawai Eksekutif Edge Media Group Ho Kay Tat menyatakan Khazanah tidak pernah ditubuhkan untuk tujuan membantu usahawan Bumiputera.

“Ketika Dr Mahathir berkata Khazanah menyimpang dari peranan membantu usahawan Bumiputera, terus terang saya tidak tahu di mana ia datang kerana Khazanah tidak pernah ditubuhkan untuk tujuan itu.

“Ada agensi lain yang sepatutnya membantu usahawan Bumiputera,” katanya.

Julai tahun lepas, Dr Mahathir berkata Khazanah merupakan salah satu saham tempatan terbesar yang menyimpang dari tujuan asalnya.

Beliau berkata pada mulanya ia bertujuan memegang saham yang diperuntukkan kepada Bumiputera.

Peruntukan ini adalah di bawah dasar tindakan afirmatif untuk meningkatkan ekuiti Bumiputera dalam pasaran saham

“Tetapi Khazanah memutuskan mengambil saham itu sendiri. Mengapa tidak membeli sekiranya terdapat saham yang baik ketika harga saham sangat rendah,” kata Dr Mahathir dalam temubual di laman web Investvine. – 12 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen