Parlimen Sudan setuju darurat enam bulan bukan setahun


Presiden Omar al-Bashir sebelum ini mengisytiharkan darurat selama setahun bermula 22 Februari selepas langkah diambil kerajaan gagal menyekat demonstrasi yang mengancam pentadbirannya selama hampir tiga bulan. – Gambar EPA, 12 Mac, 2019.

PARLIMEN Sudan meluluskan darurat dikuatkuasakan selama enam bulan dan bukan setahun seperti diperintahkan Presiden Omar al-Bashir. 

Omar mengisytiharkan darurat selama setahun bermula 22 Februari selepas langkah diambil kerajaan gagal menyekat demonstrasi yang mengancam pentadbirannya selama hampir tiga bulan.

“Darurat selama enam bulan diluluskan majoriti,” kata Speaker Parlimen, Ibrahim Ahmed Omer selepas anggota parlimen mengundi mengenai keputusan presiden itu.

Demonstrasi yang menyaksikan korban nyawa itu tercetus pada 19 Disember selepas kerajaan memutuskan menaikkan harga roti sebanyak tiga kali ganda. 

Pegawai berkata setakat ini 31 orang maut dalam bantahan itu bagaimanapun menurut pemerhati hak asasi manusia angka kematian sebenar ialah seramai 51 termasuk anggota medik dan kanak-kanak.

Di samping itu Bashir juga mengharamkan perhimpunan yang tidak mendapat kebenaran dan menubuhkan mahkamah kecemasan khas selain memberikan kuasa kepada pasukan keselamatan melakukan serbuan dan mengesan individu yang cuba menimbulkan kekacauan. – Bernama, 12 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen