Impian Ola Bola: Suatu hari nanti, pasti


Noor Azam Shairi

Teater muzikal Ola Bola musim kedua melabuhkan tirai pada Ahad, selepas naik panggung selama tiga minggu sejak 18 Februari lalu. – Gambar ihsan Enfiniti Productions, 12 Mac, 2019.

TEPUK tangan dan sorak sorai di Istana Budaya semacam tidak mahu berhenti selepas pementasan teater muzikal Ola Bola yang terakhir selesai malam kelmarin.

Barisan pelakon yang memberi hormat paling akhir kepada penonton tidak lagi dapat menahan air mata. Ada yang saling berpelukan, ada yang berpegang tangan, dan ada yang menekup muka. 

Tiara Jacquelina, otak di belakang teater muzikal ini dan kunci enjin kreativiti Enfiniti Productions, juga tidak berdaya membendung air mata sewaktu diminta memberikan kata-kata akhir sebagai salam tutup tirai.

“Terima kasih kepada anda semua yang memenuhi panggung setiap malam… 58 kali pertunjukan,” katanya, menahan sebak dengan mata bertakung.

Tepuk tangan bergema lagi. Sorak sorai bertambah riuh.

Teater muzikal Ola Bola musim kedua melabuhkan tirai pada Ahad, selepas naik panggung selama tiga minggu sejak 18 Februari lalu. Pementasan asalnya dijadual berakhir 3 Mac lalu tetapi disambung lagi seminggu atas permintaan. 

Persembahan musim kedua ini memperkemaskan lakonan, muzik dan koreografi, jauh lebih baik berbanding pementasan pertamanya pada Februari tahun lalu. 

“Kami hanya mahu bercerita dengan jujur, cuba untuk memberi semangat kepada rakyat Malaysia daripada kisah Malaysia pada tahun 1980… yang kita harap masih ada sampai hari ini,” kata Tiara.

Malaysia yang Tiara maksudkan itu umumnya memang terasa agak jauh dan terasing, cuma segar dalam ingatan.

Tepuk tangan tambah gemuruh. Air mata terus berjurai.

Skuad Olimpik 1980

Hampir semua orang pasti tahu cerita Ola Bola; kalau bukan teater muzikal atau filemnya, setidak-tidak cerita asal tentang laluan getir pasukan bolasepak Malaysia layak ke Olimpik di Moscow, antara Mac dan April 1980.

Teater muzikal Ola Bola dipindahkan ke pentas dari filem arahan Chiu Keng Guan dengan judul yang sama, yang mencatatkan rekod pecah panggung dengan kutipan lebih RM16 juta pada 2016. 

“Saya sangat suka filem itu dan tidak boleh melupakannya sampai berhari-hari selepas menontonnya,” kata Tiara.

Di luar panggung, cerita itu ada banyak episod yang menarik – tahun-tahun ketika Malaysia pernah ada pasukan bola sepak yang terbaik di rantau Asia. 

Beberapa bulan sebelum hari perlawanan bersejarah dengan Korea Selatan di Stadium Merdeka pada 4 April 1980 itu, dunia bola sepak Malaysia memang cukup meriah.

Teater muzikal Ola Bola lebih daripada sekadar sejarah sebuah pasukan bola sepak. – Gambar ihsan Enfiniti Productions, 12 Mac, 2019.

Pada Mei 1978, Malaysia seri 1-1 dengan England B dalam perlawanan persahabatan di Stadium Merdeka. Gol Mokhtar Dahari malah dipuji oleh majalah bola sepak Shoot! di United Kingdom.

Pada Julai 1979, Malaysia jadi juara bersama Pestabola Merdeka selepas seri 0-0 dengan skuad Korea Selatan B . Pada September berikutnya, Malaysia menang pingat emas Sukan Sea di Jakarta dengan gol Mokhtar Dahari, sekali gus mengekalkan kejuaraan dua tahun sebelumnya di Kuala Lumpur. 

Namun pada November 1979, Mokhtar mengumumkan berundur daripada perlawanan antarabangsa, ketika skuad negara bersiap sedia untuk pusingan kelayakan ke Olimpik 1980 di Moscow.

Cerita pasukan Malaysia hendak ke Olimpik itu memang tertulis seperti karya fiksyen. Pasukannya kurang disiplin dan dirundung masalah. Beberapa pemainnya tidak mahu bermain, sehingga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi amaran menyekat mereka daripada terlibat dalam Piala Malaysia.

Beberapa perlawanan persahabatan sebagai persiapan ke pusingan kelayakan itu juga sangat mengecewakan. Malaysia jadi pasukan belasahan kelab-kelab antarabangsa.

Semua itu hampir dirakamkan setiap satunya dalam filem Ola Bola yang kemudian dipindah ke pentas, biarpun ada beberapa penyelewengan fakta yang dibolehkan atas lesen kreatif. Ini karya kreatif yang diilhamkan daripada sejarah, bukan dokumentasi sejarah.

Bukan cerita bola

Tetapi Ola Bola lebih daripada sekadar sejarah sebuah pasukan bola sepak.

Ia sebuah kisah klasik masa depan – imbauan suatu masa lalu yang semangatnya kini sudah semakin hilang tetapi selalu dikenang-kenang dari tahun ke tahun.

Ola Bola menjentik hati banyak orang kerana ia menangkap banyak hal yang sudah hilang atau hampir terhakis daripada kita – tentang Malaysia yang pernah ada pada suatu masa dulu.

Ia tentang sebuah pasukan bola sepak dengan pemain pelbagai kaum yang sama-sama berjuang demi negara. Ia juga tentang Malaysia yang masih murni – ketika perpaduan tidak terlalu dipaksa-paksa sebagai suatu konsep tetapi lahir dan hidup subur seadanya.

Sebagaimana sukan menyatukan anak semua bangsa, teater muzikal Ola Bola di Istana Budaya – dan sebelumnya filem di pawagam – juga begitu.

Kepada seorang sahabat karib yang datang menyapa dengan mata nampak basah bergenang, Tiara bercerita dengan cukup teruja tentang keluarga Melayu, Cina dan India yang datang menonton Ola Bola.

“Inilah Malaysia,” kata Tiara, pada sela-sela beliau melayan peminat dan sahabat di lobi Istana Budaya, malam kelmarin.

Seperti pasukan bola sepak Malaysia yang layak ke Olimpik 1980 dan filem Ola Bola tiga tahun lalu, teater muzikal ini sudah menempa namanya yang tersendiri. 

Selepas teater muzikal Puteri Gunung Ledang dan P Ramlee, Enfiniti Productions sekali lagi meletakkan penanda aras baru seni pentas tempatan yang mungkin sukar disaingi untuk beberapa tahun akan datang.

Tetapi ada sesuatu yang lain daripada Ola Bola. Ketika Malaysia sejak  kebelakangan ini bergelut dengan naratif kaum, ia menunjukkan wajah sebuah Malaysia yang pernah ada. Ketika pasukan bola sepak Harimau Malaya tidak dihormati, ia menunjukkan kegemilangannya dalam sejarah.

Teater muzikal Ola Bola, sama seperti proses pembikinan filemnya, menunjukkan betapa hasrat untuk melakukan kebaikan akan lebih mudah dengan kejujuran, dan bahawa yang terbaik dan selalu dianggap mustahil itu boleh dicapai dengan keyakinan, kesungguhan dan kerja pasukan.

Ola Bola mengingatkan kita tentang semangat juang yang tidak mengenal kalah, bahawa ini masanya untuk mencapai impian. 

Ia tentang semangat kerja pasukan untuk mencapai cita-cita bersama, betapa lima jari bertemu jadi penumbuk padu.

Ia tentang percaya diri sendiri, bahawa setiap manusia mampu menjadi wira.

“Kita mesti terus menghidupkan impian dengan cerita-cerita kita sendiri, supaya kita boleh membina Malaysia yang hebat,” katanya, menutup ucapan.

Tempik sorak di Istana Budaya sekali lagi bergaung.

Malaysia yang hebat itu tidak mustahil, asal saja kita berusaha ke arahnya dan selalu menyimpan keyakinan: Suatu hari nanti, nanti nanti… pasti. – 12 Mac, 2019.

* Azam seorang wartawan dengan The Malaysian Insight. Anda boleh mengikutinya di Twitter . E-mel: [email protected]

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen