PIHAK pendakwaan hari ini berhujah yang mereka tidak wajib menyerahkan semua salinan bukti mereka, termasuk kenyataan saksi berkaitan kes SRC International kepada peguam Najib Razak.
Pendakwa raya yang dilantik, V. Sithambaram, memberitahu Mahkamah Rayuan permintaan peguam Najib untuk melihat dokumen pendakwaan tidak terkandung di bawah Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah (CPC).
“Secara ringkasnya, kalau mereka berjaya, ibarat memberi seluruh kertas siasatan kepada pembelaan pada peringkat pra-perbicaraan,” kata Sithambaram di mahkamah hari ini.
Semalam, peguam Najib, Havinderjit Singh mengemukakan rayuan bekas perdana menteri itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak membenarkan pihak pendakwaan mendapatkan lebih banyak dokumen dari pihak pendakwaan berkaitan kes SRC itu.
Najib didakwa dengan sepuluh pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan salah guna kuasa melibatkan lebih RM42 juta dan RM47 juta. SRC merupakan bekas anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Perkara yang dihujah dalam mahkamah hari ini adalah satu daripada empat permohonan interlokutori Najib berhubung pertuduhan kes SRC.
Prosiding pendengaran di hadapan panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Zabariah Mohd Yusof. Panel turut disertai Hakim-Hakim Rhodzariah Bujang dan Lau Bee Lan.
Turut hadir ialah Peguam Negara Tommy Thomas dan Najib.
Pendakwaan juga memberitahu mahkamah mereka sudah menyerahkan 31 jilid dokumen berhalaman hampir 6,500 muka surat yang akan digunakan sebagai sebahagian daripada bukti bagi pihak pendakwaan. – 12 Mac, 2019.
Komen