PEGUAM Perancis meminta Malaysia bekerjasama lebih erat dalam siasatan ke atas skandal pembelian kapal selam Scorpene, kata Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong.
Beliau berkata permintaan tersebut dibuat dua peguam Perancis dalam pertemuan bersama Peguam Negara Tommy Thomas dan pegawai kanan kerajaan pada Februari lepas.
“Betul mereka datang tapi saya tidak boleh dedahkan perbincangan… Mereka harap Malaysia untuk buat lebih membantu mereka dalam kes di Perancis,” kata Liew di bangunan Parlimen hari ini.
Dua peguam tersebut Apolline Cognat dan William Bourdon dilantik oleh kumpulan hak asasi Suaram sejak 10 tahun lalu untuk memfailkan tindakan undang-undang berkenaan skandal itu.
Saman yang difailkan Suaram membawa kepada pendakwaan terhadap beberapa pegawai dari syarikat pembuat kapal selam itu di Perancis atas dakwaan memberi suapan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga membuka semula siasatan ke atas pembelian dua kapal selam oleh kerajaan Malaysia dari pembekal Perancis, DCN International SA (DCNI).
Pada November lalu, SPRM memanggil bekas perdana menteri Najib Razak untuk siasatan.
Pembelian kapal selam RM5 bilion itu berlaku ketika beliau menjadi menteri pertahanan.
Seorang penganalisis politk yang rapat dengan Najib, Abdul Razak Baginda juga terlibat dengan perjanjian membeli kapal selam dari Perancis itu melalui syarikat Perimekar Sdn Bhd.
Syarikat tersebut didakwa menerima sebanyak EUR114 juta (RM540 juta) sebagai sebahagian daripada perjanjian itu.
Abdul Razak didakwa di mahkamah Perancis pada Julai 2017 berhubung kes menguruskan pembelian kapal selam berkenaan dari Thales dan DCNS.
Dalam perkembangan berkaitan, Liew berkata kementeriannya menjangka akan dapat membentangkan satu kertas putih di Parlimen pada akhir sesi Parlimen tahun ini.
“Kertas putih itu menumpukan kepada isu dan dan cabaran yang dihadapi pertahanan negara termasuk penyelesaian dalam tempoh sehingga 20 tahun akan datang.
“Kertas putih ini sedang dalam proses yang menumpukan idea pertahanan secara keseluruhan.Ini pertama kali dalam sejarah polisi.” Katanya.
Pembentangan kertas putih itu diumumkan menterinya Mohamad Sabu pada tahun lalu. – 12 Mac, 2019
Komen