SEKURANG-KURANGNYA 11 pegawai polis terbunuh selepas militan Taliban melancarkan serangan semalam di pusat pemeriksaan keselamatan di wilayah barat Badghis di Afghanistan, lapor agensi berita Xinhua memetik media tempatan Tolo News TV hari ini.
“Puluhan Taliban lengkap bersenjata api menyerang pusat pemeriksaan polis di daerah Muqur, 15 kilometer utara ibu kota wilayah Qala-e-Naw malam semalam,” kata penasihat kepada ketua eksekutif pemerintah pejabat dan residen Badghis, Ziaull Haq Firoz Koahi.
Beliau berkata beberapa militan turut terbunuh dan cedera dalam pertempuran yang berlaku selama berjam-jam itu.
Pada malam Ahad lepas, lebih 20 tentera terbunuh, 10 cedera manakala 28 lagi ditahan Taliban.
Pertempuran terbaru itu tercetus ketika rundingan politik berlangsung antara wakil Taliban dan pasukan perundingan Amerika Syarikat yang diketuai wakil khas, Zalmay Khalilzad. – 12 Mac, 2019
Komen