Polis siasat Guan Eng atas hasutan kenyataan ‘perang’


Looi Sue-Chern

Menteri Kewangan Lim Guan En baru-baru ini mengeluarkan kenyataan yang menyamakan kesatuan antara Umno dan PAS sebagai peperangan terhadap bukan Melayu. - Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mac, 2019.

POLIS menjalankan siasatan ekoran puluhan laporan yang dibuat terhadap Menteri Kewangan Lim Guan Eng berhubung kenyataannya baru-baru ini yang menyamakan kesatuan antara Umno dan PAS sebagai peperangan terhadap bukan Melayu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan menimbulkan kekecohan awam dengan niat menghasut, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.

Fuzi berkata, siasatan bermula minggu lepas sejurus selepas laporan pertama dibuat terhadap Setiausaha Agung DAP.

“Sehingga dua hari lalu, polis menerima 58 laporan. Kami sedang menyiasat dan kenyataan yang diperlukan akan diambil.

“Kami juga akan menyoal menteri apabila tiba masanya,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambahnya, Lim belum dipanggil membuat kenyataan.

Dalam satu kenyataan minggu lepas, Lim berkata kerjasama Umno dan PAS seperti mengisytiharkan perang terhadap bukan Melayu.

Beliau kemudiannya menyemak kenyataannya beberapa jam kemudian dengan mengeluarkan kata perang.

Bagaimanapun kenyataannya dikritik dan dia dituduh menghasut bersifat perkauman. – 12 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen