Putrajaya perlu beralih kepada sektor swasta untuk kurangkan kos


Chan Kok Leong

Dr Mahathir Mohamad mencadangkan Putrajaya beralih kepada sektor swasta untuk mengurangkan perbelanjaan perkhidmatan awam. - Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 12 Mac, 2019.

KERAJAAN boleh beralih kepada sektor swasta bagi mengurangkan perbelanjaan perkhidmatan awam sambil terus mengekalkan pekerjaan, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Saiz sektor awam boleh dikurangkan tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan,” katanya kepada Parlimen hari ini.

Menurutnya, beliau mengutamakan pengenalan Dasar Penswastaan yang dibuat pada 1983 di mana kerajaan dapat mengurangkan perbelanjaan operasi, meningkatkan kecekapan dan produktiviti serta meningkatkan pertumbuhan ekonomi dengan memindahkan sebahagian perkhidmatan awam kepada sektor swasta.

“Ini dapat dilihat dari penswastaan Telekom di mana perkhidmatan awam dipindahkan ke sektor swasta dengan itu dapat mengurangkan perkhidmatan awam.

“Pekerja juga dapat menerima imbuhan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, strategi sama masih releven untuk digunakan hari ini selain memastikan produktiviti dan penggunaan sumber manusia ditingkatkan.

“Kita tahu kita tidak boleh buang pekerja kerana ia boleh mewujudkan masalah sosial lain.

“Oleh itu kita perlu mempromosikan pembuatan supaya lebih banyak boleh bergerak dari kerajaan ke swasta,” katanya.

Dr Mahathir berkata, ketika dia bersara pada 2003 sebagai perdana menteri, sektor awam hanya mempunyai sejuta pekerja tetapi kini meningkat kepada 1.7 juta pekerja.

“Sebagai hasil dari perbelanjaan operasi lebih tinggi, kerajaan hari ini kekurangan wang untuk perbelanjaan pembangunan,” jatanya.

Pemimpin berusia 93 tahun itu berkata, kerajaan terdahulu membuka terlalu banyak sektor awam dengan mewujudkan agensi tidak perlu dan membayar upah tinggi seperti sektor swasta.

“Kerja yang sepatutnya dilakukan oleh seorang, dilakukan oleh tiga orang.

“Kerajaan sebelum ini membayar upah tinggi untuk mendapatkan sokongan perkhidmatan awam semasa pemilihan dan menggunakan agensi yang baru diwujudkan untuk mengupah ahli parti mereka.

“Kerajaan hari ini tidak akan melakukan seperti itu,” katanya.

Ahli Parlimen Langkawi itu memberi maklum balas terhadap soalan Ismail Mohamed (Kuala Krau-BN) sama ada kerajaan merancang mengecilkan pekerja sektor awam.

Ismail juga bertanya sama ada kerajaan merancang menaikkan gaji pekerja sektor awam.

“Kenaikan upah perkhidmatan awam akan menyebabkan sektor swasta menaikkan gaji dan menyebabkan kos sara hidup meningkat.

“Oleh itu jika ada kenaikan gaji kerajaan ia harus sesuai dengan produktiviti yang lebih tinggi dengan mempromosikan automasi, IT dan meningkatkan aliran kerja,” katanya. – 12 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen