MALAYSIA akan mendapatkan arbitrasi antarabangsa untuk menyelesaikan pertikaian dengan Singapura berhubung harga air jika republik itu enggang merunding semula kadarnya, akta Menteri Luar Saifuddin Abdullah.
“Kita terpaksa membawa perkara ini untuk timbang tara antarabangsa jika mereka enggan berunding,” katanya di Parlimen hari ini.
Saifuddin menjawab soalan tambahan daripada Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang-PAS) berkenaan tindakan seterusnya dalam pertikaian harga air yang dijual Malaysia kepada Singapura.
“Rundingan bermula selepas lawatan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ke Singapura pada November lalu dan memaklumkan kepada mereka niat Malaysia,” katanya ketika menjawab soalan Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Santubong-GPS) berhubung status rundingan antara kedua-dua negara.
“Selepas kedua-dua pihak setuju dengan perbincangan itu, peguam negara kedua-dua negara mula membincangkan perkara itu diikuti dengan kementerian saya.
“Kita sepatutnya di peringkat kedua perbincangan, iaitu untuk melihat perbezaan harga dan tempoh masa untuk harga berkenaan,” kata ahli Parlimen Indera Mahkota kepada Parlimen.
Bagaimanapun, Saifuddin berkata beliau terkejut dengan kritikan dibuat oleh Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan baru-baru ini berkenaan rancangan Malaysia untuk menyemak semula harga air.
Singapura berkata harga air tidak boleh dirunding semula kerana Malaysia terbatal hak berbuat demikian mengikut perjanjian pada 1987. Semakan harga ditimbulkan ketika rundingan bilateral diadakan antara 1998 hingga 2003, tetapi tiada harga baharu diputuskan.
“Beliau menuduh Malaysia tidak mematuhi perjanjian kerana kita tidak boleh menyemak semula kadar selepas 1987,” kata Saifuddin di Parlimen.
“Klausa 14 Perjanjian Air 1962 berkata ‘ia tertakluk untuk semakan semula selepas tamat tempoh 25 tahun perjanjian ini’.
“Perjanjian itu tidak menyatakan bahawa semakan semula hanya boleh dibuat ‘pada’ tamat tempoh 25 tahun.
Sementara itu, Saifuddin berkata Johor perlu mengambil langkah untuk memastikan kebergantungan sifar terhadap air terawat dari Singapura.
“Setakat ini Malaysia mensubsidi kira-kira RM42 juta setahun atau RM2.4 bilion hingga kini,” katanya.
Di bawah perjanjian air semasa, Singapura membayar RM0.03 untuk 1,000 gelen air mentah dari Malaysia. Republik itu merawat air berkenaan dan kemudian menjualnya semula kepada Johor pada RM0.50 per 1,000 gelen. Singapura dianggarkan mengambil 250 juta gelen air dari Sungai Johor setiap hari.
Minggu lalu, Singapura berkata mungkin akan ada “pengumuman bersama” dalam tempoh dua minggu susulan “perkembangan munasabah” berkenaan rundingan tentang pertikaian maritim. – 12 Mac, 2019.
Komen