Kes Najib tertangguh, peguam patah tangan 


Bede Hong

Walaupun mendakwa patah tangan, Muhammad Shafee Abdullah muncul di Mahkamah Tinggi Shah Alam awal hari ini untuk mewakili Samirah Muzaffar dalam kes percubaan membunuh suaminya, CEO Cradle Fund Nazrin Hassan. - Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mac, 2019.

PENDENGARAN permohonan rayuan Najib Razak di Mahkamah Rayuan berhubung kes SRC International ditangguhkan pada Jumaat setelah peguamnya Muhammad Shafee Abdullah berkata, tangan kirinya patah selepas bermain dengan anjing peliharaannya malam tadi. 

“Saya tidak pernah mengalami patah tulang seumur hidup saya. Anjing peliharaan saya melompat ke atas saya malam tadi,” kata Shafee kepada panel hakim Mahkamah Rayuan pagi ini sebelum memohon penangguhan. 

Peguam itu menambah, kecederaannya memerlukan rawatan perubatan menerusi imbasan X-ray.

Shafee bagaimanapun hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum itu untuk mewakili Samirah Muzaffar yang minta dibicarakan atas pertuduhan membunuh suaminya CEO Cradle Fund Nazrin Hassan. 

Beliau bagaimanapun lewat hadir ke mahkamah rayuan untuk pendengaran Najib. Prosiding diteruskan tanpa Shafee yang kemudiannya membuat permohonann penangguhan ketika tiba di mahkamah. 

Pendengaran hari ini adalah mendengar empat rayuan Najib mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung permohonan interlokutori dalam tujuh tuduhan jenayah yang berkaitan dengan dana SRC International Sdn Bhd, berjumlah RM42 juta.

SRC International adalah bekas unit 1MDB.

Hakim Zabariah Mohd Yusof mengetuai panel tiga orang hakim termasuk Rhodzariah Bujang dan Lau Bee Han.

Peguam Negara Tommy Thomas yang menolak tuntutan Shafee berkata, semua orang mahu perbicaraan bermula seawal esok.

“Terdapat tekanan besar dihadapi pasukan pendakwa, malah tekanan global adalah untuk kami memulakan perbicaraan,” katanya.

“Saya faham, peguam itu mempunyai masalah, tetapi di sisi lain kita berada di bawah tumpuan mengapa perbicaraan masih belum bermula.”

Zabariah menangguhkan pendengaran itu pada pagi Jumaat dan memberitahu peguam bahawa penyerahan mereka untuk rayuan keempat yang berkaitan dengan penarikan balik sijil, mesti diselesaikan pada masa itu. – 12 Mac, 2019

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen