Venezuela umum 4 langkah atasi gangguan elektrik


Venezuela umum empat langkah bagi mengatasi isu gangguan bekalan elektrik yang menyebabkan negara itu terpaksa bergelap sejak lewat Khamis. – Gambar EPA, 12 Mac, 2019.

KERAJAAN Venezuela pada Isnin mengumumkan empat langkah bagi mengatasi isu gangguan bekalan elektrik yang menyebabkan negara itu terpaksa bergelap sejak lewat Khamis lepas, lapor agensi berita China Xinhua.

Menteri Perancangan Ricardo Menendez berkata langkah itu bertujuan memastikan bahawa perkhidmatan awam seperti penjagaan kesihatan dan penghantaran bakul makanan akan diteruskan meskipun berdepan situasi terputus bekalan tenaga yang agak melumpuhkan.

Dalam satu temu bual dengan Telesur, rangkaian televisyen yang berpangkalan di Caracas, Menendez berkata langkah pertama adalah melakukan pemantauan rapi ke atas fungsi perkhidmatan perubatan.

Langkah kedua dan ketiga bertujuan memastikan penghantaran gas serta air melalui trak tangki kepada isi rumah di seluruh negara.

Langkah keempat pula bertujuan menjamin kesinambungan program CLAP negara iaitu penghantaran bekalan makanan ruji kepada isi rumah.

Venezuela pada masa lalu berdepan pengasingan dan situasi terputus bekalan tenaga dalam tempoh yang singkat, namun kali ini gangguan bekalan elektrik berlanjutan selama beberapa hari dan telah menjejaskan banyak bahagian di negara itu.

Kerajaan menyalahkan tindakan sabotaj di sebuah loji hidroelektrik pusat oleh pekerja yang bersubahat dengan pembangkang yang disokong Amerika Syarikat, sebagai sebahagian rancangan untuk menimbulkan kekacauan dan melemahkan Presiden Nicolas Maduro serta parti pemerintah.

Pembangkang dan Amerika Syarikat mendakwa gangguan bekalan elektrik itu disebabkan rasuah serta salah pengurusan.

Bekalan elektrik terputus di kebanyakan bahagian di Venezuela pada 5 petang waktu tempatan Khamis, 7 Mac lepas dan telah dipulihkan di beberapa kawasan. – Bernama, 12 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen