REMAJA yang didakwa membunuh CEO Cradle Fund Nazrin Hassan mendakwa diserang secara seksual ketika dalam tahanan, kata peguamnya di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.
Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili kedua-dua remaja terbabit menggesa mahkamah memindahkan mereka dari pusat tahanan di Sentul, Kuala Lumpur ke Puncak Alam di Shah Alam, Selangor.
“Dakwaan itu adalah bahawa dia telah diserang secara seksual dan fizikal oleh penghuni lain di pusat tahanan,” kata Hisyam kepada mahkamah.
Terdahulu, remaja terbabit dan balu Nazrin mengaku tidak bersalah atas tuduhan membunuh.
Hakim Ab Karim Ab Rahman berkata, beliau meminta peguam untuk membuat permohonan rasmi bagi memindahkan remaja berkenaan.
“Saya tidak boleh buat apa-apa berdasarkan aduan kamu (peguam). Mana buktinya?”
Hisyam berkata pihaknya akan menyediakan bukti berhubung serangan itu.
Katanya, pusat tahanan itu tidak sesuai untuk remaja berkenaan dan meminta bapa mereka membuat laporan polis.
“Apa yang saya maksudkan ialah kediaman perlu selamat untuk kanak-kanak.” – 12 Mac, 2019
Komen