SAMIRAH Muzaffar dan dua remaja lelaki hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Shah Alam atas pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan.
Hakim Ab Karim Ab Rahman menetapkan 11 April depan untuk pengurusan kes dan pendengaran akan ditentukan selepas itu.
“Kita akan tunggu peguam menhantar dokumen dan kita tetapkan tarikh pendengaran kes selepas itu,” katanya di Kompleks Mahkamah Shah Alam.
Samirah dan dua remaja terbabit didakwa bersama seorang lagi warga Indonesia Eka Wahayu Lestari yang masih bebas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Samirah yang memakai baju berwarna hitam dan bertudung kelabu memberitahu mahkamah “saya tidak melakukannya” ketika pertuduhan dibacakan kepadanya.
Sementara itu, dua remaja terbabit kelihatan tenang dan mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan.
Timbalan Pendakwa Raya Zain Ibrahim berkata, mahkamah mendaftarkan 75 saksi dan akan memanggil mereka sekiranya terdapat keperluan.
“Kami membantah jaminan terhadap ketiga-tiga tertuduh dan akan protes sekiranya ia ditawarkan.”
Peguam yang mewakili Samirah, Muhammad Shafee Abdullah berkata beliau akan memfailkan permohonan untuk jaminan hari ini.
“Peguam yang mewakili dua remaja terbabit Hisyam Teh Poh Teik memfailkan jaminan untuk mereka semalam. Kemungkinan semua permohonan itu akan didengar bersama.
“Kami menuntut jaminan, kerana lebih daripada mungkin tiada kes terhadapnya atau kedua-dua remaja itu.”
Shafee berkata pendengaran ikat jamin bagi ketiga-tiga mereka mungkin didengar minggu depan.
Karim berkata beliau akan menetapkan tarikh awal untuk pendengaran jaminan sebelum pengurusan kes. – 12 Mac, 2019
Komen