Penembak muzium Yahudi dipenjara seumur hidup


Polis berkawal di mahkamah ketika pengganas Mehdi Nemmouche dijatuhi hukuman penjara di Brussels selepas didapati bersalah melakukan serangan di muzium Yahudi pada 2014. – Gambar EPA, 12 Mac, 2019.

MAHKAMAH Brussels hari ini menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas seorang militan Perancis yang menembak mati empat orang dalam satu serangan pengganas di sebuah muzium Yahudi.

Mehdi Nemmouche disabitkan bersalah atas tuduhan pembunuhan pengganas minggu lalu selepas mengamuk dan melakukan serangan senjata anti Semitik di ibu negara Belgium pada Mei 2014.

Difahamkan, jenayah itu dilakukan selepas dia pulang dari pertempuran di Syria.

Nacer Bendrer, yang didapati bersalah membantu merancang serangan dengan membekalkan senjata yang digunakan Nemmouche, dijatuhi hukuman penjara 15 tahun.

Mahkamah yang menjatuhkan hukuman itu pada awal pagi berkata, tertuduh berusia 33 tahun itu tidak menunjukkan rasa insaf dan menyesal atas perbuatannya.

“Encik Nemmouche, kamu hanya pengecut, kamu bunuh orang dengan menembak mereka dari belakang. Kamu bunuh wanita tua dengan tembak mereka dengan senapang, kamu menembak kerana rasa seronok,” kata pendakwa raya Yves Moreau.

Mendesak juri mengenakan hukuman tegas, Moreau berkata: “Jika anda kata di Belgium seseorang itu boleh jadi pengganas tanpa hukuman keras, maka kita tidak akan terkejut melihat ramai orang datang ke negara ini dengan bom atau senapang dalam bagasi mereka.”

Bendrer, yang juga warga Perancis berkata dia malu kerana pernah mengenali Nemmouche, dan berkata “dia bukan manusia, dia binatang”. – AFP, 12 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen