DI bawah khemah, anak-anak muda dengan baju merah di sana sini sibuk mengemas memberikan sentuhan akhir dan memasang bendera merah sebagai persiapan untuk acara besar hari ini.
Berhampiran pentas di padang, sekumpulan lelaki yang lebih dewasa duduk berlonggok di bawah khemah mengikuti perbincangan dengan ketua penganjur acara yang memeriksa persiapan akhir itu.
Tampak saling tidak ubah seperti majlis perhimpunan Umno, apatah lagi dengan bendera merah di sepanjang jalan menuju ke bandar Muar.
Tetapi bendera dengan tona warna merah yang lebih gelap itu bendera Bersatu dan bukannya Sang Saka Bangsa milik Umno.
Lebih kurang 15 minit ke luar dari bandar Muar, Johor, Bersatu hari ini akan merayakan ulang tahun penubuhannya yang pertama.
Sejak diasaskan pada 8 September setahun yang lalu, Bersatu, dari segi semangatnya tampak cukup bersiap sedia untuk mencabar Umno.
Pengerusi jawatankuasa pengelola majlis sambutan Mukhriz Mahathir hanya menguntum senyum ketika ditanya apakah Bersatu memilih Johor sebagai tempat sambutan ulang tahunnya sebagai isyarat ia mencabar Umno, sesuatu yang memang sejak diketahui menjelang pilihan raya umum nanti.
“Kita adakan di sini kerana ia memudahkan ahli-ahli dari negeri-negeri berdekatan untuk hadir. Lagi pula, ini negeri presiden kita dan antara negeri yang kita kuat,” katanya dalam sidang media di Muar, semalam.
Negeri lain yang jadi kubu kuat Bersatu ialah Kedah dan Selangor, tambahnya.
Menurut Mukhriz, Bersatu menjangkakan acara sambutan ulang tahunnya di Muar hari ini akan dihadiri oleh 10,000 orang.
Menurut Presiden Muhyiddin Yassin, Bersatu sudah menubuhkan lebih 150 bahagian di seluruh Semenanjung Malaysia.
“Ini bermakna kita telah hampir bergerak ke seluruh negara membawa mesej tentang apakah dasar perjuangan kita. Ini petanda yang baik untuk kita,” kata Muhyiddin kepada The Malaysian Insight.
Muhyiddin berkata Bersatu belum lagi ditubuhkan di semua 165 kawasan Parlimen di Semenanjung Malaysia kerana syarat keahlian minimum yang diperlukan untuk membuka sebuah bahagian masih belum dipenuhi.
“Tetapi kita percaya dalam masa sebulan ini lebih kurang, kita akan tubuhkan di seluruh Semenanjung Malaysia dan itu juga bermakna setiap negeri akan jawatankuasa perhubungannya masing-masing.”

Memperkuatkan pembangkang
Tetapi persoalan yang tidak terjawab, bagaimana Bersatu boleh menambah nilai kepada Pakatan Harapan (PH) yang sudah mempunyai dua parti Melayu atau parti yang dominan Melayu, PKR dan Amanah?
“Dari segi keahlian, kita dapat menarik sebahagian besar anak-anak muda, sama ada mereka pernah menyertai politik ataupun tidak. Ini satu petanda yang cukup baik, bahawa bukan sahaja orang lama, tapi orang baru yang pernah terlibat dalam gerakan politik masuk menyertai parti kita,” kata Muhyiddin.
Timbalan presidennya Mukhriz memaklumkan parti itu kini mempunyai keahlian berdaftar lebih 100,000 ahli, dengan kumpulan belia mewakili 57% anggotanya.
“Borang permohonan yang kita terima tetapi belum daftarkan hampir sekali ganda daripada itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Muhyiddin menambah apabila Bersatu menyertai PH ia memperkuatkan gabungan itu dengan pengalaman pemimpin dan ahlinya yang pernah menyertai pentadbiran kerajaan persekutuan termasuklah pernah menggalas jawatan menteri.
“Kita membawa bersama kita pengalaman pernah berada dalam kerajaan dan menerajui pelbagai kementerian dan pengubalan dasar serta program yang memahami cita rasa rakyat. Ini menambah lagi keyakinan rakyat akan kemampuan Pakatan untuk meneraju negara apabila kita ambil alih nanti.
“Membina keyakinan itu mustahak untuk mendapatkan sokongan,” katanya.
Tak sama macam Umno
Mukhriz, yang membantu Barisan Nasional (BN) merampas Kedah dari Pakatan Rakyat pada 2013 berkata beliau teruja dengan kepelbagaian ahli yang menyertai Bersatu.
“Datang dari Umno, ini sangat berbeza. Sebelum ini, kita perlu bayar orang untuk tolong atau hadir majlis.
“Tetapi ahli-ahli baru yang kita terima bukan ahli yang berdaftar tetapi ada juga sukarelawan. Kita tidak bayar mereka apa-apa untuk hadir majlis atau latihan jentera pilihan raya,” kata Mukhriz.
“Mereka tidak minta duit minyak atau elaun. Ini sesuatu yang baru bagi kami,” kata bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno itu.
Namun Muhyiddin mengakui parti itu masih ada masalah.
“Sesetengah mereka yang menyertai kita ini tidak ada asas dalam politik atau memimpin bahagian. Jadi mereka ada isu tentang keahlian dan pentadbiran. Ini sesuatu yang kita terima.
“Beri sedikit masa, ini semua akan selesai. Kita baru setahun dan saya tidak mahu terlalu banyak berharap. Begitu pun saya kira kita sudah capai kejayaan besar dari segi membuka operasi di seluruh negara.
Di bandar diraja Muar ini, ada warna merah yang baru tetapi merah itu datang dari bunga kebangsaan dan bukannya dari sebilah keris. – 9 September, 2017.
Komen