Pesawat Boeing dilarang terbang susulan insiden di Ethiopia


Beberapa syarikat penerbangan di seluruh dunia menggantung operasi pesawat Boeing 737 MAX 8 susulan insiden pesawat terhempas di Ethiopia pada Ahad. – Gambar fail EPA, 12 Mac, 2019.

KESELAMATAN yang diragui terhadap pesawat Boeing yang laris terjual 737 MAX 8 mendorong beberapa syarikat penerbangan menghentikan penerbangan pesawat itu sejak semalam, susulan sebuah pesawat baharu terhempas di Ethiopia, menyebabkan 157 penumpang dan anak kapal maut, pada Ahad.

Penyiasat sudah menemui kotak hitam pesawat yang dalam perjalanan ke Nairobi itu ketika ia terhempas berhampiran Addis Ababa, kata Ethiopia Airlines.

Penerbangan ET302 terhempas di kawasan padang hanya selepas 6 minit berlepas ketika juruterbang memaklumkan menara kawalan bahawa ia mengalami “kesukaran”.

Penumpang terdiri daripada warga 35 negara termasuk 24 kakitangan PBB.

Pesawat itu sama jenis dengan pesawat Lion Air milik syarikat Indonesia yang terhempas pada Oktober, mengorbankan 189 penumpang dan anak kapal.

Syarikat penerbangan di Ethiopia, China, Afrika Selatan, Indonesia dan kepulauan Cayman semalam berkata mereka menggantung operasi pesawat Boeing 737 MAX 8.

Tindakan itu menyebabkan saham Boeing menjunam 12% awal paginya, sebelum memulihkan separuh daripada kerugian pada waktu tengah hari di New York.

China turut mengarahkan syarikat penerbangan domestik menggantung operasi MAX 8.

Terdapat lapan warga China dalam pesawat terhempas di Ethiopia.

Indonesia yang mempunyai 11 pesawat jenis MAX 8 berkata ia akan menjalankan pemeriksaan dan larangan sementara penerbangan Boeing 737 Max 8.

Korea Selatan mengarahkan pemeriksaan terhadap dua pesawat MAX 8 yang dikendalikan syarikat penerbangan tambang murah Eastar Jet.

Antara syarikat lain yang membatalkan penerbangan menggunakan MAX 8 ialah Oman Air, flydubai, Turkish Airlines dan Russia’s S7.

Boeing menyifatkan pesawat siri MAX sebagai produknya yang paling laku dengan lebih 5,000 tempahan diterima setakat ini daripada 100 pelanggan.

Ethiopian Airlines menempah 30 pesawat MAX 8 sementara China menerima 76 pesawat daripada tempahannya sebanyak 180.

Pesawat yang terhempas pada Ahad di Ethiopia baru beroperasi kurang empat bulan dan diterima pada 15 November. – AFP, 12 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen