PUTRAJAYA memerlukan kempen yang kuat bagi mendidik ibu bapa yang menentang vaksinasi untuk anak-anak mereka, kata pakar perubatan Melayu Islam.
Pendirian anti-vaksinasi dalam masyarakat ini adalah lebih kepada kebimbangan terhadap status halal vaksin, walaupun terdapat pengesahan daripada Majlis Fatwa Kebangsaan dan menteri yang bertanggungjawab berhubung hal ehwal agama Dr Mujahid Yusof Rawa bahawa vaksin adalah selamat dan dibenarkan.
Namun masyarakat lebih terdedah kepada pelbagai sumber maklumat pada hari ini berbanding sebelumnya, yang menyebabkan penyebaran pelbagai pandangan walaupun ia tidak berasas dan tidak saintifik, kata Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) Dr Ahmad Shukri Ismail.
Dr Ahmad Shukri dan pakar perubatan Melayu lain berkata, pakar seperti pakar pediatrik, doktor dan tokoh agama serta ulama boleh membantu Putrajaya menyebarkan maklumat kepentingan vaksinasi.
Timbalan Presiden I-Medik Malaysia Profesor Dr Azizi Ayob merujuk kepada kes difteria di Johor baru-baru ini yang menyebabkan kematian seorang bayi, menyatakan kematian mungkin boleh dielak, sekiranya ibu bapa bayi itu memilih untuk memberikan vaksin kepada anak mereka.
Lima lagi kanak-kanak termasuk seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah selepas didapati positif difteria.
Kes di Johor baru-baru ini itu bagaimanapun bukam yang pertama di Malaysia menyebabkan kematian kerana keengganan ibu bapa memberikan vaksin kepada mereka.
Pada Oktober tahun lalu, seorang bayi berusia 14 bulan yang mati akibat difteria tidak diimunisasikan kerana keengganan ibu bapanya.
Insiden itu mencetuskan perdebatan hangat sama ada vaksin perlu diwajibkan atau sebaliknya.
Perlukah kerajaan wajibkan vaksinasi?
Mempromosikan kesedaran dan pendidikan yang lebih tinggi juga merupakan pelopor kepada rancangan untuk mewajibkan vaksinasi.
Dr Azizi berkata, imunisasi wajib tidak mungkin dilaksanakan memandangkan masih ada masyarakat, terutama mereka yang tinggal di kawasan terpencil, tidak mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan.
Beliau berkata mewajibkan imunisasi hanya boleh dilaksanakan apabila semua rakyat Malaysia mempunyai akses kepada kemudahan penjagaan kesihatan kerajaan.
Bagaimanapun, Dr Ahmad Shukri mempunyai pandangan berbeza. Beliau menyokong rancangan kerajaan untuk menjadikan dua daripada 12 vaksinasi wajib di bawah Program Imunisasi Kebangsaan. Ini termasuk imunisasi terhadap difteria, campak, beguk dan rubella (MMR).

“Kerajaan perlu melaksanakan peraturan ketat dan menguatkuasakan (bagi memastikan kanak-kanak menerima vaksin yang diperlukan),” katanya yang turut menggesa hukuman berat terhadap mereka yang tidak memberikan imunisasi kepada anak-anak.
“Kami di Perdim menyokong sepenuhnya rancangan mewajibkan vaksin dan hukuman perlu berat, dalam bentuk hukuman penjara dan denda…kerana ia (tidak berikan vaksin kepada anak) akan merosakkan bukan sahaja kepada individu tetapi juga masyarakat.”
Dr Ahmad Shukri dan Dr Azizi juga menolak tanggapan bahawa vaksin MMR boleh menyebabkan autisme, merujuk kepada kajian klinikal yang menunjukkan kekurangan kaitan.
Dr Ahmad Shukri berkata, sebelum ini gelatin porcine digunakan untuk vaksin tertentu, namun metodologi itu sudah berubah.
“Vaksin memberi lebih banyak kebaikan berbanding keburukan,” katanya dan menambah pihak berkuasa kerajaan dan agama sudah mengesahkan vaksin di Malaysia adalah halal.
Peningkatan golongan anti-vaksin
Pandangan yang menentang vaksinasi mula berkembang sekitar 2012-2013, menurut laporan Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia yang mengesan trend keengganan vaksinasi di Malaysia.
Ia bermula sebagai pergerakan kecil dan mula menarik perhatian apabila pandangan seperti itu tersebar di media sosial.
Kajian bahagian berkenaan mendaoati terdapat 600 kes keengganan vaksinasi pada 2013, 1,600 kes pada 2016, menyimpulkan bahawa peningkatan jumlah keengganan berdasarkan data daripada klinik dan hospital kerajaan. Ini tidak termasuk klinik dan hospital swasta.
Ia mendapati, punca utama keengganan vaksinasi adalah kebimbangan sama ada ianya halal atau haram, diikuti dengan keraguan kandungan dan rujukan untuk amalan perubatan homeopati.
Pandangan anti-vaksinasi adalah kuat di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Pahang, yang mana separuh daripada kes ibu bapa menolak vaksinasi adalah antara 2013 dan 2016.
Dr Azizi yang merupakan penulis buku “Vaksin: Antara Babi, Yahudi & Konspirasi” yang diterbitkan pada 2017 berkata, beliau membuat keputusan untuk menulisnya dalam Bahasa Malaysia untuk mencapai lebih ramai masyarakat Melayu.
Buku berkenaan membincangkan tentang tanggapan berkaitan vaksin.
“Itu sebabnya mengapa fatwa dikeluarkan oleh mufti bahawa tidak semua vaksin haram atau dilarang.
“Dalam Islam, yang baik ditimbang atas kemudaratan dan kezaliman dan keutamaan diberikan untuk melindungi kehidupan, apabila tidak ada cara lain untuk melindungi kehidupan manusia. Vaksin memberikan perlindungan, setakat tertentu.” – 13 Mac, 2019.
Komen