PAS enggan jejaskan hubungan kerajaan Pakatan, kata penganalisis


Sheridan Mahavera

Walaupun PAS secara rasminya bersekutu dengan Umno, pemimpinnya Abdul Hadi Awang mengatakan ia akan menjadi "pramatang" untuk membincangkan pembentukan kerajaan perpaduan kedua-dua pihak. - Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mac, 2019.

PAS berfikir dua kali dengan cadangan kerajaan perpaduan dengan Umno kerana ia tidak mahu menjejaskan hubungan dengan kerajaan persekutuan Pakatan Haparan yang mana ia mendapat banyak manfaat, kata penganalisis

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia Dr Mazlan Ali berkata dalam tempoh 10 bulan yang lepas, kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu menerima lebih banyak faedah daripada kerajaan persekutuan yang diterajui PH berbanding sejak beberapa dekad ketika Barisan Nasional memerintah Putrajaya.

Buat pertama kalinya dalam sejarahnya, kerajaan PAS Kelantan mendapat royalti petroleum manakala Terengganu dikembalikan royalti.

Sebagai tambahan, minggu lalu, Kelantan diberikan projek pembangunan RM1.4 bilion, termasuk lebuh raya yang sudah sekian lama diminta oleh negeri itu. 

Hubungan yang lebih baik dengan Putrajaya ini bermakna bahawa PAS berhati-hati dengan sebarang langkah yang boleh mengganggu PH seperti menyertai sebuah kerajaan perpaduan yang diterajui pihak musuh PH, Umno dan Barisan Nasional, kata Mazlan.

“PAS melihat pakej yang ditawarkan oleh kerajaan persekutuan lebih penting daripada kerajaan perpaduan dengan Umno. Ia tidak mahu mengambil risiko menyinggung PH,” kata Mazlan.

“Jadi tidak mudah bagi PAS untuk menerima cadangan perpaduan kerajaan,” tambah Mazlan.

Malah, PAS tidak memerlukan kerjasama Umno di Terengganu atau Kelantan untuk membentuk kerajaan negeri kerana parti Islam itu memegang majoriti besar dalam Dewan Undangan Negeri masing-masing.

  Cadangan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan (tengah) untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan PAS menimbulkan tindak balas tidak komited dari pimpinan parti Islam itu yang mungkin enggan menyinggung kerajaan Pakatan Harapan. – Gambar The Malaysian Insight, 12 Mac, 2019

Di Kelantan, PAS memegang 37 daripada 45 kerusi di Dewan Undangan Negeri manakala di Terengganu, ia membentuk kerajaan dengan mengambil 22 daripada 32 kerusi.

Idea kerajaan perpaduan dicadangkan oleh timbalan presiden Umno Mohamad Hasan, yang mengatakan kedua-dua pihak boleh membentuk kerajaan bersama di Terengganu dan Kelantan, yang mana PAS memerintah, dan Perlis dan Pahang, yang ditadbir oleh gabungan Umno, Barisan Nasional.

Pemerhatian Mazlan mengenai sikap PAS terhadap gagasan itu dikaitkan dengan presiden parti Islam itu Abdul Hadi Awang, yang dilihat berhati-hati terhadap cadangan itu.

Hadi berkata PAS perlu mempertimbangkan semua ikatannya, termasuk dengan parti komponen PH Bersatu, dalam percaturan politiknya.

Seorang lagi penganalisis politik, Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, ia lebih masuk akal bagi Umno dan PAS memberi tumpuan untuk bekerjasama sebagai blok pembangkang di Perak dan Kedah.

Di Kedah, PH memegang 19 daripada 36 kerusi di Dewan Undangan Negeri, diikuti oleh PAS (15) dan BN (2). Di Perak, PH mempunyai 30 daripada 59 kerusi negeri manakala BN mempunyai 25 dan PAS, tiga. Terdapat seorang wakil rakyat bebas.

Majoriti yang tipis itu kata Awang Azman bererti bahawa kerajaan negeri PH rapuh dan sokongan untuk pakatan pemerintah di kalangan penduduk boleh berubah pada pilihan raya umum yang akan datang.

“Saya tidak melihat logik untuk memberi tumpuan kepada empat negeri ini. Mereka harus berfikir ke depan dan melihat Perak dan Kedah yang mana situasi politiknya sangat sensitif,” kata Awang Azman, dari Universiti Malaya.

“Tidak mustahil kedua-dua negeri ini akan jatuh dalam pilihan raya umum akan datang kerana rakyat masih tidak berpuas hati dengan kerajaan persekutuan PH. Jika tidak ada perubahan yang dapat dirasakan rakyat, maka saya fikir mereka akan mengubah kerajaan,” kata Awang Azman. – 12 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen