Pengeboman di selatan Thailand bukan bermotifkan politik


Penyiasat ketenteraan Thailand tiba di kawasan ledakan bom di tepi jalan di provinsi selatan Thailand Narathiwat. – Gambar AFP, 11 Mac, 2019.

PIHAK berkuasa keselamatan Thailand menolak kemungkinan siri pengeboman di wilayah Satun dan Phatthalung di Selatan Thailand pada Sabtu dan Ahad lepas bermotifkan politik.

Timbalan Perdana Menteri Thailand Jen Prawit Wongsuwan berkata, tahap keselamatan yang ketat di Narathiwat, Pattani dan Yala di selatan Thailand mungkin menjadi punca memaksa mereka yang terlibat meletupkan bom berkenaan di Satun dan Phattalung.

“Kami menghantar pasukan keselamatan dan mengambil pelbagai langkah bagi mengekalkan keamanan di kawasan berkenaan (Narathiwat, Pattani dan Yala).

“Itu sebabnya mereka melancarkan serangan di luar kawasan ini, saya rasa ia bukan bermotifkan politik,” katanya kepada pemberita hari ini.

Prawit yang juga Menteri Pertahanan Thailand hari ini melawat wilayah Satun dan Phatthalung bersama dengan beberapa petugas kanan pasukan keselamatan Thailand.

Beliau berkata beberapa suspek ditahan dan mereka didapati dari kumpulan sama yang mempunyai kaitan dengan keganasan di tiga wilayah di selatan di Narathiwat, Pattani dan Yala.

Sementara itu media tempatan hari ini melaporka suspek serangan itu dikenal pasti menerusi rakaman CCTV dan semua mereka adalah aktivis pemberontak yang dikehendaki polis di selatan negara.

Sekurang-kurangnya 10 letupan menggegarkan beberapa tempat di wilayah Phatthalung dan Satun di selatan Thailand pada Sabtu dan Ahad lepas namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan insiden itu hanya mengakibatkan kerosakan kepada beberapa bangunan dan kenderaan sahaja. – Bernama, 11 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen