SEORANG lelaki warga Greece terselamat daripada menjadi penumpang ke-150 yang maut berikutan terlewat dua minit untuk menaiki penerbangan pesawat Ethiopian Airlines yang terhempas.
Antonis Mavropoulus, Presiden Persatuan Sisa Pepejal Antarabangsa dijadual ke Nairobi bagi menghadiri Perhimpunan Tahunan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bermula hari ini.
“Saya marah kerana tiada sesiapa menolong saya untuk tiba di pintu berlepas tepat pada waktunya,” tulis Mavropoulos di Facebook berserta kapsyen ‘Hari Bertuah Saya’ berserta gambar tiket penerbangannya.
Mavropoulus kemudian menempah tiket baharu namun dihalang daripada menaiki pesawat sebaliknya dia dibawa ke balai polis di lapangan terbang terbabit dan diberitahu harus bersyukur kerana terselamat.
Pihak berkuasa lapangan terbang menyoal siasatnya dan membuat pemeriksaan latar belakang kerana dia merupakan satu-satunya penumpang penerbangan ET 302 yang tidak menaiki pesawat malang itu.
Pesawat Boeing 737 dari Addis Ababa ke Nairobo membawa lapan anak kapal dan 149 penumpang dari lebih 30 negara terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Bole pada kira-kira jam 8.38 pagi waktu tempatan, kelmarin. – AFP, 11 Mac, 2019.
Komen