Presiden Korea Selatan akan jumpa Sultan Brunei


Presiden Korea Selatan Moon Jae In dijangka bertemu Sultan Hassanal Bolkiah pada Isnin untuk membincangkan usaha mempertingkat hubungan. – Gambar AFP, 11 Mac, 2019.

PRESIDEN Korea Selatan Moon Jae In dijangka mengadakan sidang kemuncak dengan Sultan Hassanal Bolkiah pada Isnin bagi membincangkan langkah-langkah untuk mempertingkat hubungan negara itu dengan Brunei dan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean).

Menurut laporan agensi berita Korea Selatan Yonhap yang memetik kenyataan pejabat presiden Seoul, Cheong Wa Dae, Moon tiba di sini pada Ahad dalam rangka lawatan negara selama tiga hari, sekali gus menjadi pemimpin pertama Korea Selatan yang melakukan lawatan negara ke Brunei dalam tempoh 19 tahun.

Sultan Brunei itu dijangka menyambut ketibaan presiden Korea Selatan dalam satu upacara di kediaman rasmi baginda, Istana Nurul Iman, diikuti satu kunjungan mesra oleh isteri kedua-dua pemimpin, menurut pejabat presiden.

Moon dan Bolkiah kemudian dijadual mengadakan sidang kemuncak dua hala mengenai langkah-langkah untuk merangsang kerjasama dua hala Korea Selatan dan Brunei.

Korea Selatan telah mengimport lebih 1 tan gas asli cecair (LNG) setiap tahun dari Brunei sejak 1997, manakala syarikat-syarikat pembinaannya telah mengambil bahagian dalam pelbagai projek di sini, menurut Cheong Wa Dae.

Semasa berada di sini, presiden Korea Selatan itu dijangka melawat tapak pembinaan Jambatan Temburong, sebuah jambatan sepanjang 30 kilometer yang sedang dibina oleh sebuah firma Korea Selatan.

Lawatan itu dijangka menonjolkan kerjasama antara kedua-dua negara selain kemungkinan projek pada masa depan.

Brunei kini melaksanakan pembangunan jangka panjang dikenali sebagai Wawasan Brunei 2035 yang juga bertujuan mengubah struktur ekonomi negara itu, yang kini bergantung kepada sumber, kepada ekonomi industri maju.

Lawatan Presiden Moon “bertujuan memperluas kerjasama kedua-dua negara dalam semua sektor daripada tenaga dan import LNG selain turut membuka peluang yang luas kepada syarikat-syarikat kami untuk mengambil bahagian dalam projek-projek infrastruktur di sini,” menurut kenyataan rasmi Cheong Wa Dae.

Pemimpin Korea Selatan dan Brunei juga akan membincangkan langkah-langkah bagi mempertingkat hubungan Korea Selatan-Asean memandangkan Brunei bertindak sebagai koordinator dialog bagi sidang kemuncak khas yang bakal berlangsung di Korea Selatan membabitkan ketua-ketua 10 negara anggota Asean, termasuk Brunei.

Brunei dan anggota Asean lain merupakan fokus Dasar Selatan Baharu Moon, yang menyaksikan Korea Selatan berusaha memperkukuh hubungan diplomatik dan kerjasama ekonominya dengan negara-negara jiran di rantau ini.

Pada 2018, perdagangan dua hala antara Korea Selatan dan negara-negara Asean mencecah rekod tertinggi lebih AS$160 bilion. 

Seoul kini berusaha meningkatkan jumlah itu kepada lebih AS$200 bilion menjelang 2020.

Moon akan menamatkan kunjungannya ke Brunei pada Selasa sebelum berlepas ke Malaysia untuk lawatan negara selama tiga hari.

Presiden Korea Selatan itu sedang dalam jelajah tiga negara yang akan turut membawa beliau ke Kemboja.

Malaysia dan Kemboja adalah anggota Asean. – Bernama, 11 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen