POLIS memanggil penganjur perarakan Hari Wanita Sedunia untuk dirakam keterangan pada minggu depan, kata Gerakan Pembebasan Wanita (GPW).
Kordinator GPW Yuva Balan berkata hanya seorang sahaja daripada ahli jawatankuasa penganjur yang dipanggil polis untuk memberi keterangan.
Individu berkenaan dikehendaki hadir ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, katanya.
“Penganjur telah diminta untuk hadir, hanya seorang saja, tapi kami akan turun beramai- ramai untuk beri sokongan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Perhimpunan pada Sabtu lalu mencetus kontroversi kerana turut disertai aktivis lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin hari ini berkata perhimpunan berkenaan dijalankan tanpa permit polis.
Yuva turut mendakwa kerajaan gagal melihat isu sebenar melibatkan golongan terpinggir.
Beliau berkata perarakan itu sepatutnya bertujuan meningkatkan kesedaran umum mengenai golongan tertindas dan terpinggir seperti LGBT.
Tetapi, katanya, isu tersebut kini digunakan oleh sesetengah pemimpin demi kepentingan politik untuk meraih sokongan.
“Adalah amat malang apabila ada pemimpin politik menggunakan isu ini untuk kepentingan mereka dan sesetengah media yang hanya membuat liputan mengenai penglibatan LGBT dan menuduh golongan itu mencabar agama.
“Ia tidak benar sama sekali, perhimpunan itu bukan untuk mencabar mana- mana pihak mahupun agama,” katanya. – 11 Mac, 2019.
Komen