PAKATAN Harapan perlu terus konsisten dan tidak akan terpengaruh dengan desakan meletakkan calon Melayu di PRK Rantau, kata Anwar Ibrahim.
Tambahnya, pakatan pemerintah tidak boleh terpengaruh dengan taktik PAS-Umno yang memainkan isu kaum dan agama, kerana PH adalah untuk semua.
“Penting untuk kekal konsisten selaku parti yang mewakili semua, yang melindungi orang miskin dan tertindas, di mana majoritinya adalah juga orang Melayu,” kata presiden PKR itu selepas mengumumkan Dr S Streram sebagai calon PRK Rantau hari ini.
“Berbanding menggunakan (isu) kaum, kita mahu bercakap tentang keadilan. Isu kaum hanya digunakan orang suka ambil peluang dan mereka yang sudah tiada pilihan,” katanya.
Anwar mengeluarkan kenyataan itu apabila diminta menjelaskan desakan supaya PH meletakkan calon Melayu di PRK Rantau.
Rantau mempunyai 53% pengundi Melayu, 27% India dan 19% pengundi Cina.
Barisan Nasional masih tidak mengumumkan calon mereka, walaupun Pemangku Presiden Umno Mohamad Hasan dijangka bertanding sekali lagi.
Katanya, PRK Rantau adalah peluang untuk PH membangkitkan isu kemiskinan yang wujud di kawasan itu walaupun ia adalah kerusi bekas pemimpin tertinggi Negeri Sembilan.
Mohamad adalah bekas menteri besar Negeri Sembilan dan Adun Rantau selama tiga penggal.
“Ada kemiskinan nyata dalam kalangan orang Melayu, India dan sebilangan orang Cina di Rantau. Dan yang lebih penting adalah untuk kami membentangkan kes kami kepada rakyat Malaysia daripada membenarkan perjuangan kita dilambatkan atau dijarah perkauman,” kata Anwar lagi.
Tambahnya, PH menjangkakan pertempuran sengit di PRK Rantau kerana kerusi tersebut secara tradisinya milik Umno dan Mohamad adalah tokoh besar politik Negeri Sembilan.
“Kami tahu isu kaum akan dimainkan ke atas calon kami. Tetapi, kami akan gerakkan jentera dari Sabah dan Sarawak untuk membantunya di Rantau,” kata Anwar.
Mohamad menang tanpa bertanding di Rantau pada PRU14 lalu, selepas Streram dihalang pengurus pilihan raya daripada menyerahkan borang penamaan calon.
Streram membuat petisyen di Mahkamah Pilihan Raya yang kemudiannya membatalkan keputusan PRU14 DUN Rantau.
Penamaan calon ditetapkan pada 30 Mac sementara pengundian dijangka pada 13 April.
Pada PRU13, Mohamad menang di DUN Rantau dengan majoriti 4,613 mengalahkan calon PKR Aisah Lamsah. – 11 Mac, 2019.
Komen