VIETNAM kekal menjadi antara negara tertinggi berdepan ancaman siber, memetik data Rangkaian Keselamatan Kaspersky lapor agensi berita Vietnam.
Ancaman keselamatan siber kini semakin sofistikated ketika Industri 4.0 negara itu sedang pesat membangun.
Menurut laporan Makmal Kaspersky, pada separuh pertama tahun lalu, Vietnam di tempat pertama daripada 20 negara lain di dunia yang mengalami ancaman siber.
Kaspersky, sebuah syarikat keselamatan siber dunia, menggariskan perlunya kerjasama awam dan swasta untuk membina pertahanan keselamatan siber yang berdaya tahan.
Pengurus Besar Makmal Kaspersky Asia Tenggara, Yeo Siang Tiong berkata berbanding sebelum ini, kerjasama dalam bidang keselamatan siber kini amat penting dan perlu dipertingkatkan.
Tahun lepas, syarikat itu menandatangani memorandum persefahaman dengan Jawatankuasa Keselamatan Maklumat Kerajaan Vietnam, Pihak Berkuasa Keselamatan Maklumat dan Pusat Keselamatan Siber Nasional, untuk menangani cabaran keselamatan maklumat dan membantu kerajaan meningkat keupayaan dalam langkah kawalan keselamatan siber. – Bernama, 11 Mac, 2019.
Komen