Kelantan, Terengganu akan jadi kerajaan 'persahabatan'


Timothy Achariam

Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob di bangunan Parlimen hari ini. Beliau berkata akar umbi Umno dan PAS mengalu-alukan pembentukan kerajaan perpaduan di negeri pembangkang. - Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 11 Mac, 2019.

PEMBANGKANG tidak lagi wujud di Kelantan dan Terengganu apabila Umno dan PAS kini berada di landasan sama, kata Takiyuddin Hassan.

Setiausaha parti Islam itu berkata, sementara kerajaan perpaduan di negeri yang dikendalikan oleh Umno mungkin jauh, apa yang akan muncul di Kelantan dan Terengganu tidak lama lagi akan menjadi kerajaan persahabatan.

Menurutnya, walaupun Umno mungkin tidak dimasukkan ke dalam kerajaan negeri di kedua-dua negeri itu, mereka akan berkerjasama dengan pentadbiran PAS.

“Kami (pakatan Umno dan PAS) mempunyai empat negeri, majoriti Umno di Pahang dan Perlis manakala PAS pula di Terengganu dan Kelantan.

“Buat masa ini tidak ada pembangkang di empat negeri ini,” katanya.

Di DUN Kelantan, PAS dan Umno membentuk 44 daripada 45 kerusi dengan satu milik Pakatan Harapan (PH).

Di Terengganu pula 23 daripada 33 kerusi milik PAS dan 10 milik Umno tanpa perwakilan PH.

Umno mempunyai majoriti di Pahang dengan 24 daripada 42 kerusi dan PAS dengan tujuh kerusi. 

Di Perlis, Umno mempunyai lapan daripada 15 kerusi dengan PAS dua kerusi.

Takiyuddin berkata, Umno akan menyokong kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu sementara PAS akan menyokong Perlis serta Pahang berikutan Umno membentuk kerajaan di sana.

Pada Sabtu lalu, Mohamad Hasan berkata Umno akan mencadangkan kerajaan perpaduan di negeri dipimpin oleh Barisan Nasional di Pahang dan Perlis serta PAS yang memerintah Kelantan dan Terengganu.

Mohamad berkata, cadangan itu dibuat sebagai platform memperlihatkan kerjasama antara Umno dan PAS akan berjalan.

Bagaimanapun Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengatakan idea itu terlalu awal.

Beliau berkata terdapat banyak perkara harus dipertimbangkan sebelum kerajaan perpaduan dapat dibentuk.

Terdahulu Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan perpaduan antara PAS dan Umno tidak diputuskan lagi sehingga mesyuarat diadakan pada April akan datang.

Beliau berkata, sejak PAS dan umno membentuk satu pakatan pada minggu lalu, tidak ada perbincangan sama ada mereka akan membentuk kerajaan perpaduan dalam kerajaan negeri yang ditadbir PAS di Kelantan dan Terengganu.

“Sebuah jawatankuasa kerja bersama ditubuhkan antara Umno dan PAS untuk melihat cadangan itu dan tentukan terma rujukan.

“Jawatankuasa ini akan diberikan tempoh satu setengah bulan dari 5 Mac untuk mengeluarkan cadangan yang memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya selepas menghadiri pembukaan mesyuarat pertama sesi kedua Parlimen ke-14 hari ini.

Ketua pembangkang yang baru dilantik itu berkata, cadangan itu akan dihantar kepada jawatankuasa utama perikatan yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hassan dan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, bagaimanapun Umno dan akar umbi PAS mengalu-alukan cadangan itu kerana mereka juga sudah bekerjasama.

“Kerajaan perpaduan yang wujud akan memudahkan negara untuk ditadbir,” katanya. – 11 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen