Penghuni terakhir di tanah wakaf Abdul Cauder diarah keluar


Looi Sue-Chern

Presiden MAINPP Abdul Malik Abul Kassim berkata pemilik rumah terakhir itu diberi tempoh hingga 25 Mac untuk mengosongkan rumah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mac, 2019.

SELEPAS kerja merobohkan rumah bertukar dramatik minggu lalu hingga seorang anggota polis diserang, penghuni rumah terakhir di tanah wakaf Abdul Cauder di Butterworth menerima surat perintah mahkamah untuk mengosongkan rumah itu pagi tadi.

Ini berlaku selepas Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) membelanjakan RM3 juta dalam mendapatkan perintah mahkamah menduduki tanah itu, dan membayar subsidi sewa untuk penduduk kampung terjejas selama lebih lapan tahun.

Tanah itu dirancang untuk projek rumah pangsa oleh MAINPP. Seramai 46 penduduk kampung itu yang menyewa tanah wakaf berkenaan akan diberikan satu unit rumah seluas 1,000 kaki persegi apabila projek itu siap.

Presiden MAINPP Abdul Malik Abul Kassim berkata pemilik rumah terakhir itu diberi tempoh hingga 25 Mac untuk mengosongkan rumah.

Beliau berkata notis mahkamah dihantar ke rumah itu hari ini, dan sebaik saja mereka mengosongkan, tanah wakaf itu akan ditutup untuk dibangunkan.

“Kemudian kami akan mendapatkan kelulusan pelan pembangunan daripada pihak berkuasa tempatan supaya kerja pembinaan dapat bermula. Kami harap tidak ada lagi cubaan untuk melengahkan projek ini,” katanya kepada media di pejabat MAINPP.

MAINPP sudah lama cuba mendapatkan hak pemilikan terhadap tanah wakaf di Jalan Mengkuang sejak 2010, bila Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) memperuntukkan RM50 juta untuk membangunkan 470 unit rumah pangsa kos sederhana di tanah itu.

Pada tahun itu, 32 daripada 46 keluarga bersetuju keluar dengan menerima pakej pampasan MAINPP iaitu rumah pangsa seluas 1,000 kaki persegi, subsidi sewa bulanan RM500, elaun pemindahan RM4,000 dan elaun RM3,500 untuk pindah masuk ke rumah pangsa itu selepas ia siap.

Tetapi 14 keluarga menolak tawaran itu dan terus membuat tuntutan, walaupun selepas ia dibawa ke mahkamah, yang menetapkan 14 Februari lalu sebagai tarikh akhir mengosongkan rumah bagi 13 penyewa.

Malik berkata MAINPP dituduh tidak berperikemanusiaan, sedangkan semua tuduhan itu “mengarut”.

“Pulau Pinang memberikan tawaran pampasan terbaik untuk pengusiran di negara ini dan MAINPP memberi tawaran lebih baik daripada itu,” katanya.

Beliau berkata MAINPP turut membenarkan lebih masa untuk keluarga terbabit berpindah sehingga 24 Februari, di mana kemudiannya dilanjutkan lagi secara lisan hingga 28 Februari.

“Pada 7 Mac, kami ke kampung itu untuk merobohkan rumah buat kali ketiga. Empat daripada pegawai kami cedera ringan apabila kerja mereka diganggu oleh penduduk. Seorang anggota polis turut dipukul. – 11 Mac, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen