SEORANG penganggur Mohamad Yazid Kong Abdullah dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah menghina Nabi Muhammad dan Islam di media sosial.
Hakim Hasbullah Adam berkata bahawa perlakuan jenayahnya adalah menghantar mesej yang tidak berasas di Facebook yang menyentuh agama terutamanya Islam.
“Perlembagaan menyatakan Islam sebagai agama rasmi dan perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi tanah air.
“Tindakan kamu mencabar perlembagaan. Saya sudah mengambil kira faktor pengurangan kedua-duanya sebelum membuat keputusan.
“Hukuman penjara ke atas kamu bermula pada hari kamu ditahan reman pada 5 Mac,” katanya di Kompleks Mahkamah Jalan Duta.
Lelaki berusia 52 tahun itu didakwa menggunakan akaun Facebook “Yazid Kong” untuk memuat naik komunikasi menghina dengan niat untuk menyakiti orang lain pada 8.21 malam, 24 Februari, 2019.
Pendakwaan yang dibuat di bawah Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Mutimedia 1998, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta yang sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.
Jumaat lalu, lelaki yang berasal dari Kuching, Sarawak itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan didenda RM50,000 kerana menghina Islam di Facebook.
Terdahulu, peguam yang mewakili Yazid, Muhammad Syafiq Salleh berkata, penganggur itu perlu diberikan hukuman lebih ringan kerana baru memeluk agama Islam.
“Sejak memeluk agama Islam, beliau tidak mendapat bimbingan dan sokongan yang sempurna.
“Beliau tidak tahu mentafsirkan Islam dan ajarannya.”
Syafiq juga berkata, Yazid mempunyai empat orang anak hasil perkahwinan pertamanya dan seorang anak lelaki berusia dua tahun daripada perkahwinan kedua.
“Beliau telah bercerai dengan isteri pertama dan mengahwini wanita warga Indonesia. Permit kerja isterinya itu akan tamat dan perlu kembali ke kampung halamannya.
“Anak lelakinya adalah warga Malaysia jadi tiada sesiapa akan menjaganya sekiranya beliau dipenjara,” katanya.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asyraf Md Kamal berhujah hukuman yang dikenakan terhadap Yazid tidak patut dikurangkan kerana jenayah yang dilakukannya adalah serius.
“Ini adalah perkara yang serius dan ia adalah penghinaan terhadap Islam. Tindakan ini mencetuskan kemarahan orang Islam.
“Beliau telah menghantar tiga mesej berasingan dan sepatutnya sedar penghinaannya itu sudah tular.”
Asyraf berkata penghinaan itu seolah-olah dirancang dan sekiranya berterusan ia akan menggugat keharmonian.
“Mahkamah perlu berikan mesej yang jelas dan tidak berkompromi dalam hal ini. Beliau ada kecenderungan untuk mengulangi tindakannya itu.”
Syafiq berkata, anak guamnya itu sudah menyesal dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Sekiranya dihukum, beliau meminta untuk ditempatkan di bahagian yang mana beliau boleh mendalami Islam di penjara.” – 11 Mac, 2019
Komen